Timbalan Menteri Agama ziarah johan tilawah
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Marhamah Rosli mengadakan ziarah khas kepada Johan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa Tahun 1999 Hajah Masnah Haji Awang sempena Program Ziarah Kasih Madani.
Beliau berbuat demikian dalam rangka lawatan kerja beliau ke Negeri Terengganu.
Dalam lawatan tersebut, beliau meluangkan masa berinteraksi, mendengar alunan tarannum yang dipersembahkan oleh Hajah Masnah serta menyantuni kaum keluarga beliau.
Turut diadakan penyerahan sumbangan Kotak Madani untuk keluarga beliau.
Sebagai tokoh qariah yang berpengalaman, Hajah Masnah telah lama berkecimpung dalam bidang tarannum sejak tahun 1966.
Beliau bukan sahaja aktif menyertai pelbagai pertandingan tilawah, malah terus menyumbang sebagai guru Al-Quran dengan mengajar di masjid dan kelas-kelas pengajian sekitar daerah Marang.
Sumbangan berterusan beliau dalam memartabatkan Al-Quran turut mendapat pengiktirafan apabila dianugerahkan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) pada tahun 1997 dan Ahli Mahkota Terengganu (AMT) pada tahun 2000.
Pengarah YADIM Negeri Terengganu, Ustaz Mohd Kamal Nazmi Kamaruddin yang turut hadir mengiringi lawatan menyifatkan ziarah ini sebagai amat bererti kerana berpeluang bersama menziarahi tokoh qariah dan johan tilawah al-Quran peringkat kebangsaan yang banyak berjasa dalam memartabatkan seni bacaan Al-Quran.
BACA JUGA Zaharudin dicadang muzakarah dengan bapa mertua bila balik raya nanti