‘Kami akan berdamai jika pemimpin dunia seperti anda’ – Pemikir dunia puji diplomasi Malaysia
Tokoh ekonomi dan pemikir terkemuka dunia, Profesor Jeffrey D Sachs memuji pendekatan diplomasi Perdana Menteri Malaysia sambil menyifatkan dunia akan aman jika semua pemimpin bercakap seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menyampaikan penghargaan terhadap ucapan Perdana Menteri yang disifatkannya sebagai penting, jelas dan berteraskan kebenaran yang amat diperlukan dunia ketika ini.
“Perdana Menteri Malaysia, terima kasih untuk kata-kata yang penting, jelas, dan benar yang kita semua syukuri
“Jika lebih ramai pemimpin dunia bercakap seperti anda, kami akan berdamai.
“Ini mungkin cabaran terbesar kita. Dunia hari ini menghadapi kesukaran untuk bercakap benar. Kuasa-kuasa kejam menjadikannya sangat sukar untuk pemimpin menyatakan sesuatu dengan jelas, jujur dan berprinsip seperti yang baru sahaja disampaikan oleh Perdana Menteri anda,” ujarnya dalam satu forum baru-baru ini
Beliau turut melahirkan rasa terhormat dapat berada bersama Perdana Menteri serta memuji Malaysia sebagai tuan rumah yang menganjurkan platform perbincangan intelektual secara terbuka.
“Saya berasa amat terhormat berada di sini dan duduk di sebelah Perdana Menteri. Ia juga sangat memberi inspirasi melihat Malaysia menganjurkan acara seperti ini.
“Anda menghimpunkan wacana intelektual melalui perbincangan terbuka yang melibatkan pemimpin kerajaan, masyarakat sivil serta pegawai-pegawai untuk bertukar pandangan dan mencetuskan idea,” katanya lagi.
Sachs menegaskan bahawa ruang dialog terbuka seperti itu amat penting, malah menurutnya, situasi berkenaan tidak pernah ada di negaranya sendiri.
“Tiada yang lebih penting dan memberi inspirasi daripada ini. Saya ingin beritahu, di negara saya, kami tidak lagi mempunyai ruang seperti ini. Kami tidak mempunyai wacana seperti ini,” ujarnya.