Polis tahan lelaki disyaki rekrut pelajar sekolah sertai kumpulan gangster

Seorang lelaki berjaya ditahan pihak polis selepas disyaki merekrut pelajar sekolah untuk menyertai kumpulan gangsterisme di Seremban.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, suspek warga tempatan berusia 20 tahun itu didapati mempunyai empat rekod jenayah.

Suspek ditahan Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan bersama Cawangan D7 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di hadapan restoran di Garden Homes, Seremban kira-kira jam 9.10 malam, Selasa lalu.

Lelaki itu direman tiga hari bermula Rabu untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 45 Akta Pertubuhan 1966.

“Setakat ini, siasatan masih peringkat awal dan pihak polis dalam tindakan mengenal pasti individu yang terbabit untuk direkodkan keterangan,” katanya, hari ini.

Beliau berkata, polis sebelum itu menerima laporan berkaitan perselisihan faham yang berlaku membabitkan pelajar sekolah tahun enam di Seremban pada 12 Mac lepas.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati terdapat unsur elemen gangsterisme daripada pihak luar yang tidak bertanggungjawab dan cuba mempengaruhi pelajar terbabit untuk menyertai kumpulan haram ini.

“Polis membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 45 Akta Pertubuhan 1966 bagi tujuan siasatan yang lebih mendalam dan sebagai tindakan pencegahan supaya isu ini tidak menular kepada masyarakat khususnya membabitkan murid sekolah,” ujarnya..