Dari majlis kosmetik ke retorik Petronas, PN bising tanpa solusi
Oleh DR SHAHNOR BASRI
Cadangan terbaharu oleh Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Ahmad Samsuri Mokhtar, untuk menubuhkan sebuah “Majlis Perundingan Ekonomi Negara” kononnya bagi menyelamatkan ekonomi, sebenarnya lebih menyerlahkan satu hakikat yang sukar disembunyikan – kemiskinan idea dalam kalangan pembangkang yang semakin ketandusan arah.
Ini bukan soal perbezaan pandangan dasar. Ini soal kegagalan memahami struktur asas pentadbiran ekonomi negara sendiri.
Malaysia sejak sekian lama telah mempunyai Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), yang ditubuhkan pada 7 Januari 1998 ketika negara berdepan krisis kewangan Asia – satu tempoh jauh lebih genting berbanding apa yang dihadapi hari ini.
MTEN bukan sekadar nama dalam fail arkib, tetapi sebuah institusi yang terbukti berfungsi merangka dasar, memantau ekonomi semasa, serta memperkukuh daya tahan negara dalam menghadapi kejutan global.
Ironinya, ketika negara pernah melalui krisis yang jauh lebih parah, tiada keperluan untuk mencipta majlis baharu yang bersifat kosmetik.
Mengitar semula
Hari ini, apabila tekanan ekonomi global kembali meningkat akibat krisis tenaga dan ketidaktentuan geopolitik, pembangkang memilih jalan mudah – mengitar semula idea lama dengan label baharu, seolah-olah rakyat tidak mampu menilai perbezaan antara dasar dan retorik.
Jika benar keikhlasan itu wujud, cadangan yang lebih waras adalah memperkukuh MTEN dengan pendekatan lebih inklusif.
Kerajaan melalui MTEN mempunyai keupayaan untuk menubuhkan sub-kumpulan profesional, bersifat non-partisan, melibatkan pakar ekonomi, industri dan akademia.
Di situlah ruang sebenar untuk wacana dasar yang matang bukan melalui penciptaan struktur baharu yang hanya menambah lapisan birokrasi tanpa nilai tambah.
Lebih menarik, cadangan ini datang daripada seorang pemimpin yang bukan sahaja mengetuai blok pembangkang di peringkat nasional, tetapi juga memegang tampuk pentadbiran negeri.
Justeru, persoalannya lebih tajam: sejauh mana model ekonomi yang beliau laksanakan di negeri sendiri boleh dijadikan rujukan nasional?
Realitinya, selepas lebih enam tahun mentadbir Terengganu, prestasi ekonomi negeri tersebut masih belum menunjukkan lonjakan yang signifikan dalam menarik pelaburan bernilai tinggi atau membina ekosistem industri yang mapan.
Kebergantungan berterusan kepada suntikan dana kerajaan pusat, tanpa pelan strategik yang jelas dan berimpak tinggi, menimbulkan persoalan asas tentang keupayaan sebenar dalam merancang ekonomi secara menyeluruh.
Namun, dalam kekalutan cadangan yang longgar ini, muncul pula satu lagi suara yang tidak kurang anehnya daripada P. Ramasamy, pemimpin parti Urimai yang juga bekas tokoh DAP.
Dalam nada penuh emosi, beliau menuntut agar keuntungan PETRONAS didedahkan secara terperinci kepada umum seolah-olah negara ini tidak mempunyai sistem tadbir urus korporat dan fiskal yang tersusun.

Cadangan ini bukan sahaja dangkal, malah memperlihatkan kegagalan memahami asas struktur korporat sebuah syarikat petroleum nasional.
PETRONAS bukan sekadar entiti komersial biasa, tetapi sebuah syarikat milik negara yang beroperasi dalam ekosistem global yang kompetitif.
Keuntungannya tidak “disorok”, sebaliknya diagihkan melalui dividen, cukai, dan sumbangan langsung kepada kerajaan yang kemudiannya menjadi sumber penting kepada perbelanjaan negara, termasuk subsidi, pembangunan infrastruktur, pendidikan dan kesejahteraan rakyat.
Menuntut pendedahan secara populis tanpa memahami implikasi strategik dan komersial hanya menunjukkan kecenderungan untuk berpolitik tanpa asas.
Dalam industri tenaga global, ketelusan perlu diimbangi dengan kerahsiaan operasi dan daya saing.
Jika semua maklumat strategik didedahkan secara mentah, yang terancam bukan sahaja PETRONAS, tetapi kepentingan ekonomi negara secara keseluruhan.
Gabungan cadangan-cadangan seperti ini daripada penubuhan majlis baharu yang tidak perlu sehinggalah tuntutan pendedahan yang tidak berpijak pada realiti korporat mencerminkan satu pola yang sama: kecenderungan untuk mencipta persepsi tanpa memahami struktur.
Hakikatnya, ekonomi tidak digerakkan oleh slogan atau majlis baharu. Ia digerakkan oleh dasar yang konsisten, pelaksanaan yang berdisiplin, dan keupayaan memanfaatkan institusi sedia ada dengan cekap.
Menambah satu lagi “majlis” tanpa memperbaiki kelemahan struktur hanya akan menghasilkan ilusi tindakan bukan penyelesaian.
Realiti bukan persepsi
Rakyat hari ini semakin matang dalam menilai. Mereka tidak lagi mudah terpesona dengan cadangan yang kedengaran hebat tetapi kosong dari segi substansi.
Dalam suasana ekonomi global yang mencabar, negara memerlukan kepimpinan yang berfikir dalam kerangka realiti bukan mereka yang sekadar mencipta persepsi.
Akhirnya, cadangan “Majlis Perundingan Ekonomi Negara” dan seruan populis terhadap PETRONAS ini bukanlah terobosan, tetapi pengulangan skrip lama – bising, dramatik, tetapi miskin solusi.
Dan sebelum terlalu ghairah berbicara tentang ekonomi negara, Ahmad Samsuri Mokhtar wajar terlebih dahulu menilai cerminan prestasinya sendiri – hampir lebih enam tahun mentadbir Terengganu tanpa impak transformasi yang benar-benar mengangkat negeri itu sebagai kuasa industri yang berdikari.
Terengganu tidak boleh selama-lamanya bergantung kepada suntikan dana pusat tanpa membina asas ekonomi yang kukuh.
Yang diperlukan ialah keberanian merangka pelan strategik untuk menjadikan negeri itu sebagai hab industri yang berdaya saing bukan sekadar retorik kosong atau mendabik dada dengan gelaran kepakaran, termasuk dalam bidang aeroangkasa, tanpa terjemahan nyata di peringkat negeri.
Dalam ekonomi, ukuran sebenar bukanlah gelaran, tetapi hasil.
Mungkin yang paling baik agar Samsuri menubuhkan Majlis Perundingan Ekonomi dan Industri Terengganu yang bersifat bipartisan dan berhentilah mengelirukan rakyat!
*DR SHAHNOR BASRI merupakan Felo Akademi Sains Islam, Jordan.
BACA JUGA Krisis minyak global: Kerajaan tahan gelombang, pembangkang tunggang persepsi