Malaysia-Jepun perkukuh hubungan strategik, pertegas gencatan senjata segera di Timur Tengah

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen Malaysia untuk memperkukuh hubungan dua hala dengan Jepun yang telah terjalin sejak 1957 dan kini diperkukuh melalui Kerjasama Strategik Komprehensif (CSP).

Berkongsikan perbualan telefon beliau bersama rakan sejawatnya, Sanae Takaichi, Perdana Menteri berkata, mereka turut menyentuh kemajuan kerjasama dalam bidang keutamaan termasuk keamanan dan keselamatan, ekonomi, serta sains, teknologi dan inovasi.

Dalam masa sama, Anwar berkongsi pendirian Malaysia berhubung situasi di Timur Tengah yang menekankan keperluan mendesak untuk gencatan senjata segera, perlindungan orang awam serta penyelesaian konflik melalui dialog dan diplomasi selaras dengan undang-undang antarabangsa.

“Kami bersetuju untuk terus memperkukuh kerjasama dua hala serta memainkan peranan konstruktif dalam memastikan keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau dan global,” katanya lagi menerusi laman sosial rasmi beliau sebentar tadi.

Sementara itu, perkembangan pada hari ke-25 serangan yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran menyaksikan timbul dakwaan bercanggah mengenai kemungkinan rundingan damai.

Presiden AS, Donald Trump, berkata Washington sedang mengadakan perbincangan dengan Tehran dan membayangkan satu perjanjian yang lebih luas boleh dicapai.

Namun, Iran menolak dakwaan itu dan menuduh AS cuba melengah-lengahkan masa ketika ia mengerahkan lebih banyak pasukan ke rantau tersebut.

Pada 21 Mac lalu, Presiden AS, Donald Trump mengeluarkan ultimatum iaitu amaran terakhir yang serius dan ancaman tindakan jika tidak dipatuhi menuntut Selat Hormuz dibuka semula atau berdepan serangan ke atas infrastruktur tenaga.

Trump mengancam untuk “memusnahkan sepenuhnya” loji janakuasa Iran jika Tehran gagal mematuhi arahan itu.

Semalam, tempoh tersebut dilanjutkan selama lima hari ketika Selat Hormuz kekal ditutup, lapor Al Jazeera.

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi menegaskan pendirian Iran terhadap Selat Hormuz tidak berubah walaupun berdepan tekanan antarabangsa dan kesan ekonomi yang teruk di Asia.

Kolumnis Rumah Putih untuk The Hill, Niall Stanage pula berpendapat Trump mungkin mencari “jalan keluar” kerana perang itu tidak popular di dalam negara dan memberi kesan ekonomi besar, khususnya kenaikan harga minyak dan bahan api.

BACA JUGA Operasi gempur warga asing ketika Aidilfitri bukan pilihan, Imigresen jawab kritikan Zaid Ibrahim