Operasi gempur warga asing ketika Aidilfitri bukan pilihan, Imigresen jawab kritikan Zaid Ibrahim
Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) menegaskan bahawa pelaksanaan operasi penguatkuasaan ketika Aidilfitri adalah satu keperluan, bukan pilihan.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Datuk Lokman Effendi Ramli dilapor berkata, keselamatan dan ketenteraman awam tidak boleh dikompromi walau dalam apa jua keadaan, termasuk musim perayaan.
“Sekiranya penguatkuasaan dilonggarkan, terdapat risiko pihak tertentu akan mengambil kesempatan melanggar undang-undang, termasuk aktiviti membabitkan pendatang asing tanpa izin (PATI),” katanya, dipetik BH.
Beliau berkata, operasi yang dijalankan pihak Imigresen, bukan bermusim atau bersifat selektif mengikut waktu tertentu, termasuk musim perayaan seperti Aidilfitri.
“Sebaliknya, ia dilaksanakan secara berterusan dan profesional selaras peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

Semalam, bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Zaid Ibrahim mengkritik Imigresen Selangor kerana menjalankan Ops Omnipresent terhadap warga asing dalam tempoh perayaan Aidilfitri, dengan mempersoalkan sensitiviti waktu pelaksanaannya.
Ops Omnipresent merupakan operasi seluruh negeri yang menyaksikan pegawai penguat kuasa memeriksa ratusan warga asing di lokasi tumpuan ramai, termasuk terminal bas serta pusat beli-belah, bagi mengesahkan status pemastautin dan dokumen perjalanan mereka.
Zaid dipetik mempersoalkan tindakan pihak berkuasa itu menahan warga asing di hab pengangkutan dan pasar menjelang Aidilfitri, sedangkan mereka hanya ingin menyambut perayaan bersama rakan.
Mengulas lanjut, Lokman Effendi berkata, pendekatan diambil pihaknya mencerminkan komitmen jabatan itu memastikan penguatkuasaan dilaksanakan secara konsisten.
“Kita menghormati keperluan semua pihak menyambut perayaan dalam suasana harmoni.
“Namun pada masa sama, prinsip ‘di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung’ perlu dipatuhi semua, termasuk warga asing yang berada di negara ini.
“Saya ingin menegaskan tiada sebarang tindakan akan dikenakan terhadap warga asing yang memiliki dokumen sah serta mematuhi undang-undang imigresen.
“Penguatkuasaan hanya tertumpu kepada mereka yang melanggar peraturan,” kata Lokman lagi.
BACA JUGA PM Anwar, Prabowo setuju bertemu dalam masa terdekat, gesa keamanan Asia Barat