Padah isi RON95 dalam tong, MOF sekat terus IC, tarik kelayakan subsidi

Kementerian Kewangan (MOF) memandang serius satu video tular di media sosial memaparkan individu mengisi petrol RON95 ke dalam bekas kosong di salah sebuah stesen minyak.

MOF dalam satu kenyataan berkata, kementerian akan mengambil tindakan tegas dengan menyekat kad pengenalan yang telah digunakan dalam transaksi tersebut serta pemilik kenderaan daripada terus menikmati BUD195.

Perbuatan ini menurutnya, jelas melanggar peraturan kerana menyalahgunakan subsidi bahan api di bawah Program BUDI95 dan ini berpotensi menjejaskan usaha Kerajaan dalam memastikan pengurusan subsidi yang telus, bersasar dan berkesan.

MOF berkata, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk ketirisan dan salah guna subsidi, khususnya dalam ketidaktentuan situasi semasa yang memerlukan kawalan rapi terhadap bekalan serta harga bahan api. 

“Susulan itu, MOF akan mengambil tindakan dengan menyekat kad pengenalan yang telah digunakan dalam transaksi tersebut serta pemilik kenderaan daripada terus menikmati BUD195.

“Tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi membendung aktiviti tidak bertanggungjawab ini.

“Kerajaan amat menghargai rakyat yang cakna dan menyalurkan aduan berhubung isu ini,” ujarnya.

Orang ramai dialu-alukan untuk terus menyalurkan maklumat dan membuat aduan rasmi sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan berkaitan penyaluran subsidi dengan menghubungi Pusat Khidmat BUDI MADANI di 1300-88-9595 / +603-26314595 / budimadani@treasury.gov.my

BACA JUGA Bukan suka-suka, ada sebab kenapa hanya Malaysia, Indonesia dan Brunei disebut Iran