Padah pijak al-Quran, ini tindakan pihak universiti terhadap Vikneswaran
Pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang memijak al-Quran dan melakukan hantaran komunikasi jelik melampau di media sosial bulan lalu akhirnya sudah mendapat ‘habuan’.
Naib Canselor UMPSA, Prof Dr Yatimah Alias menerusi kenyataan hari ini memaklumkan penuntut berusia 21 tahun itu telah dikenakan hukuman dibuang daripada universiti.
Beliau berkata, proses tatatertib yang dijalankan oleh pihak Jawatankuasa Tatatertib Pelajar UMPSA telah bersidang pada 9 Mac lalu.
“Berdasarkan tindakan tatatertib, penuntut itu didapati bersalah dan dikenakan hukuman dibuang daripada universiti mengikut Kaedah 58 Kaedah-kaedah Universiti Dan Kolej Universiti (UMPSA) (Tatatertib pelajar) 2024,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap keputusan yang berkaitan agama, kaum dan institusi diraja (3R) itu menjadi pengajaran kepada warga universiti sama ada pelajar atau staf supaya lebih berhati-hati dalam semua perbuatan atau tindakan agar tidak mencemar nama baik universiti.
“UMPSA bertegas tidak akan berkompromi dengan penyebaran kandungan yang menghasut kebencian mengaitkan 3R sehingga mencetuskan ketegangan kaum dan menggugat keharmonian awam di negara ini,” kata Dr Yatimah.
Pada 3 Mac lalu, S Vikneswaran, 21, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan atas pertuduhan mencemarkan al-Quran dan melakukan hantaran komunikasi jelik melampau di media sosial.
Bagaimanapun, pemuda berkenaan mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan terbabit.