Tiada krisis minyak, kerajaan jamin bekalan petrol, diesel dan LPG stabil

Tidak berlaku kekurangan bekalan bahan api petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) dalam negara sehingga kini, menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata bekalan semasa bukan sahaja mencukupi malah situasi di negara ini lebih stabil berbanding beberapa negara lain termasuk negara serantau.

Beliau berkata, perkara yang timbul dan diuar-uarkan berhubung kekurangan bahan api adalah isu terpencil berpunca daripada aspek logistik.

Ia menyebabkan kelewatan penghantaran selama beberapa jam di beberapa lokasi, khususnya dalam tempoh musim perayaan yang menyaksikan peningkatan permintaan.

“Perkara ini sudah ditangani dan pemantauan berterusan dilaksanakan bagi memastikan penghantaran bekalan berjalan lancar.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan pembelian panik kerana bekalan semasa adalah terjamin,” menurut beliau melalui kenyataan, hari ini.

Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan sebarang penjualan dan pengisian bahan api selain daripada tangki kenderaan tanpa permit khas adalah satu kesalahan mengingatkan Akta Kawalan Bekalan 1961 khususnya peruntukan-peruntukan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021.

Jelasnya, KPDN tidak akan berkompromi dan akan bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan.

“Orang ramai juga digalakkan untuk menyalurkan aduan kepada platform aduan KPDN sekiranya terdapat aktiviti yang mencurigakan.

“Pengusaha stesen minyak diingatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan dan melaporkan sebarang pelanggaran kepada pihak berkuasa,” kata Armizan lagi.

BACA JUGA Dari eksport ke import, fakta minyak Malaysia diputar belit walaun