AMK tempelak Bersatu cuba kelirukan fakta hutang negara
AMK menempelak kenyataan Ketua Penerangan Bersatu yang cuba menggambarkan kononnya Kerajaan MADANI telah membawa hutang negara ke paras tidak mampan serta melangkaui had statutori.
Ketua Penerangannya, Danish Hairudin berkata, dakwaan tersebut bukan sahaja mengelirukan, malah dibuat secara selektif tanpa mengambil kira keseluruhan realiti fiskal negara.
Dalam hal ini, defisit fiskal negara berjaya dikurangkan secara konsisten daripada 5.0 peratus pada 2023, kepada 4.1 peratus pada 2024, dan seterusnya 3.7 peratus pada 2025.
“Pihak yang hari ini begitu lantang bercakap tentang hutang negara, pada akhirnya adalah kelompok yang ketika mentadbir bukan sahaja meningkatkan hutang kerajaan dengan mendadak, malah terpaksa menaikkan had statutori hutang daripada 60 peratus kepada 65 peratus daripada KDNK.
“Lebih membimbangkan, peningkatan pinjaman ketika itu turut menimbulkan pelbagai persoalan dari segi tatakelola dan ketelusan contohnya pada program Jana Wibawa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Danish menegaskan bahawa perbahasan mengenai hutang negara mesti berasaskan fakta penuh, bukan angka yang dipilih-pilih untuk membina naratif politik sempit.
Kata beliau, rakyat berhak mengetahui bahawa Kerajaan MADANI sedang memulihkan kedudukan fiskal negara secara berperingkat, dengan disiplin, ketelusan dan keberanian untuk melaksanakan reformasi yang perlu, tanpa mengorbankan pertumbuhan ekonomi atau kebajikan rakyat.
AMK juga menegaskan bahawa dakwaan kononnya hutang negara telah melepasi 70% KDNK adalah mengelirukan kerana ia mencampurkan definisi yang berbeza, termasuk liabiliti luar jangka, dengan ukuran rasmi hutang Kerajaan Persekutuan.
“Dari sudut takrif rasmi yang digunakan bagi menilai pematuhan kepada had statutori, paras hutang semasa kekal sekitar 64% hingga 65% KDNK, iaitu dalam lingkungan had yang dibenarkan pascapandemik.
“Janganlah kerana terdesak mencari modal politik, fakta diputar belit dan konteks sengaja disembunyikan. Data tidak menipu. Yang mengelirukan ialah tafsiran politik yang disengajakan,” ujarnya.
BACA JUGA Walau masih Aidilfitri, PMX gerak MTEN tangani krisis global, lindungi kos sara hidup rakyat