Dari RM700 juta ke RM3.2 billion subsidi, rancanglah hidup anda

Oleh FAZZI AZNI

Seperti zaman COVID, lockdown besar mungkin berlaku lagi. Kali ini mungkin tanpa sebarang amaran awal.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kira-kira 50% bekalan minyak Malaysia melalui Selat Hormuz, laluan strategik yang kini berdepan ketegangan geopolitik.

Thailand dah mula panic.. Stesen minyak diserbu rakyat. Jepun sudah hentikan penjualan minyak di beberapa stesen. Kita menanti masa sahaja.

Subsidi RON95 dan diesel Malaysia melonjak dari kira-kira RM700 juta kepada RM3.2 bilion dalam masa kurang seminggu. Bila harga minyak global naik dari sekitar USD70 ke hampir USD120 setong, kesannya bukan saja pada harga di stesen minyak, tapi juga kos logistik, pengangkutan, bekalan makanan dan tekanan inflasi keseluruhan.

Secara anggaran kasar, tanpa subsidi, harga RON95 boleh naik dari sekitar RM3.20–RM3.30 seliter ke RM3.80–RM4.20 seliter, bergantung kepada kadar tukaran dan kos penapisan.

Jika kerajaan mahu kekalkan harga sekitar RM2.05 seliter, subsidi per liter akan meningkat dengan ketara. Dengan penggunaan bahan api domestik yang tinggi, beban subsidi tahunan boleh mencecah puluhan bilion ringgit dan mula menekan perbelanjaan kerajaan dalam bidang lain seperti kesihatan, pendidikan, bantuan tunai dan pembangunan infrastruktur.

Dalam keadaan yang tidak stabil seperti ini, perkara paling penting sebenarnya bukan panik, tetapi membuat perancangan kewangan dan persediaan hidup yang asas.

Kawal perbelanjaan

Ramai rakyat Malaysia biasa berbelanja secara impulsif, tetapi ketika ekonomi tidak menentu, lebih baik tangguhkan dahulu perbelanjaan yang tidak perlu. Produk elektronik baru, perbelanjaan mewah, hiburan berlebihan sebenarnya boleh ditangguhkan. Gunakan wang untuk perkara yang benar-benar penting seperti kehidupan keluarga, kesihatan dan keperluan asas.

Sediakan dana kecemasan

Secara ideal, setiap orang patut mempunyai simpanan sekurang-kurangnya 3 hingga 6 bulan kos hidup asas. Wang ini tidak perlu dilaburkan dalam aset berisiko tinggi, yang paling penting ialah mudah digunakan bila perlu. Dalam tempoh ekonomi bergolak, kecairan tunai selalunya lebih penting daripada pulangan pelaburan.

Jangan mudah menambah hutang baru

Masih ada orang yang menggalakkan pelaburan hartanah sekarang, tetapi jika ekonomi merosot, harga rumah mungkin turun naik dengan ketara. Jika pada masa yang sama menanggung pinjaman atau hutang kad kredit, tekanan kewangan akan menjadi sangat besar.

Dalam krisis sebenar, nilai tunai boleh menyusut, seperti yang berlaku pada mata wang Iran. Simpanan yang patut dipertimbangkan ialah emas. Tetapi bukan bermaksud semua wang dimasukkan ke dalam emas. Yang lebih penting ialah keseimbangan — sedikit tunai, sedikit simpanan emas fizikal, dan juga aset jangka panjang.

Bagi umat Islam di Malaysia, zaman seperti ini juga satu peringatan. Islam sentiasa menekankan kesederhanaan, perancangan dan tawakal kepada Allah.

Ketika hidup stabil, kita mudah mengabaikan kepentingan menyimpan dan merancang. Tetapi apabila dunia menjadi tidak pasti, barulah kita sedar betapa pentingnya tabiat ini.

Kita boleh berusaha bekerja keras, mengurus kewangan dengan baik, mengurangkan pembaziran, dan pada masa yang sama terus bergantung kepada iman. Seperti yang diajar dalam Islam: manusia perlu berusaha dahulu, kemudian menyerahkan hasilnya kepada Allah.

Keadaan dunia mungkin terus berubah, tetapi selagi kita kekal tenang, membuat persediaan dan menjaga keluarga, kita sebenarnya sudah lebih bertuah daripada kebanyakan orang.

*Tulisan ini dipetik dari akaun facebook penulis

BACA JUGA Dari eksport ke import, fakta minyak Malaysia diputar belit walaun