Hujan lebat, ribut dijangka bermula 29 Mac ini
Hujan lebat berserta angin kencang dalam tempoh singkat dijangka bermula Ahad, 29 Mac ini dan berterusan sehingga Mei depan.
Keadaan itu diramalkan berlaku waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di barat dan pedalaman Semenanjung serta barat Sabah dan Sarawak.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata tempoh tersebut merupakan fasa peralihan monson sekali gus menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut yang bermula sejak 13 November lalu.
Beliau berkata, sepanjang tempoh peralihan monsun itu, negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang berpotensi menggalakkan pembentukan awan ribut petir.
“Fenomena cuaca ini berpotensi menyebabkan banjir kilat, pokok tumbang serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada sepanjang tempoh tersebut dan sentiasa peka dengan ramalan serta amaran cuaca yang dikeluarkan METMalaysia melalui laman web rasmi, aplikasi myCuaca dan media sosial rasmi jabatan itu.
Tambahnya, orang ramai juga boleh menghubungi talian hotline METMalaysia di 1-300-22-1638 untuk sebarang pertanyaan lanjut.
BACA JUGA Yang ditunggu-tunggu sudah tiba, pasaran kewangan AS ‘sakit’