Kedah hadapi gelombang haba tahap 2

Tiga daerah di Kedah kini merekodkan gelombang haba Tahap 2, manakala 16 lagi kawasan di seluruh Semenanjung Malaysia berada pada Tahap 1 iaitu berjaga-jaga setakat pagi ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kemas kini status cuaca panas setakat 6 pagi tadi memaklumkan, daerah yang terlibat bagi Tahap 2 di Kedah ialah Pokok Sena, Pendang dan Baling, lapor Bernama.

Sementara itu, 16 kawasan yang diletakkan di bawah Tahap 1 ialah Sik, Padang Terap, Kubang Pasu, Langkawi, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu di Kedah; seluruh Perlis serta kawasan Timur Laut dan Utara di Pulau Pinang.

Menurut agensi berita kerajaan itu, turut merekodkan status sama ialah Hulu Perak, Selama, Kinta dan Kuala Kangsar di Perak, selain daerah Jerantut serta Raub di Pahang.

Status Tahap 2 atau gelombang haba diisytiharkan apabila suhu maksimum berada dalam lingkungan 37 hingga 40 darjah Celsius bagi tempoh sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

Sementara itu, status Tahap 1 pula merujuk kepada suhu maksimum harian mencecah 35 hingga 37 darjah Celsius bagi tempoh sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

BACA JUGA Pagi yang terharu buat Menteri Kesihatan