Pagi yang terharu buat Menteri Kesihatan

Pagi semalam adalah suasana yang amat terharu untuk Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Terharu kerana sedih dengan perginya seorang warganegara contoh, namun terharu dengan kecekalan ibu arwah.

“Pagi tadi di Hospital Selayang, Allahyarham Muhammad Zahran telah dipanggil pulang ke negeri abadi. Walau jasadnya tiada, beliau meninggalkan “nyawa” buat insan lain melalui hati, buah pinggang, kornea dan jantung yang didermakan.

“Saya amat terharu dengan kecekalan ibu arwah. Beliau adalah simbol sebenar “Warisku, Hormati Ikrarku.” Di saat hiba menyelubungi hati, beliau memilih untuk memuliakan hasrat terakhir anaknya…

“Moga Allah SWT mencucuri rahmat dan keampunan ke atas roh Allahyarham serta menempatkan beliau di Jannah Firdaus yang tertinggi. Al-Fatihah,” kongsi Dr Dzul melalui laman X beliau.

(Jenazah Allahyarham Muhammad Zahran dibawa ke Dewan Bedah Hospital Selayang untuk melaksanakan hasrat beliau agar organnya didermakan untuk orang yang memerlukan)

Menurut beliau, walaupun lebih 400,000 telah berikrar di MySejahtera, namun lebih 10,000 rakyat negara ini masih menanti keajaiban di senarai menunggu kerana waris penderma tidak menjiwai hasrat murni penderma.

Ini kerana, waris penderma tidak menjiwai hasrat penderma dan menghalang dari ia dilaksanakan selepas penderma itu meninggal dunia.

“Saya sangat sedar keperluan untuk ikrar digital yang murni ini dimaklumkan awal bersama keluarga anda hari ini,” kata beliau.

Menurut Dr Dzul, tahun 2026 adalah ‘Misi Nasional’ KKM untuk memartabatkan agenda ‘Organ Transplant’

“My Family, Respect My Pledge” (Keluarga ku hormatilah hasratku),” tulis Ahli Parlimen Kuala Selangor itu sebagai agenda kementerian beliau tahun ini.

Kadar pendermaan organ dalam kalangan rakyat Malaysia antara 10 negara yang terendah di dunia, kata bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada tahun 2022 lalu.

Ia berdasarkan Cerapan Derma dan Pemindahan Organ Global, kadar transplantasi di Malaysia hanya 2.84 pembedahan bagi sejuta populasi pada tahun lalu berbanding 5.64 pembedahan dalam 2020.

Menurutnya, statistik pendermaan organ dari Pusat Sumber Transplan Nasional pada Julai lalu hanya 779 penderma organ sebenar selepas kematian sejak 1997.

“Sejak negara kita memulakan perkhidmatan transplantasi pada 1975, sebanyak 2,700 kes transplantasi dijalankan membabitkan pendermaan organ daripada penderma yang meninggal dunia dan daripada penderma hidup.

Jumlah ini adalah masih rendah jika dibandingkan dengan jumlah pesakit kegagalan organ tahap akhir yang tinggi di negara ini dengan 10,442 orang pesakit yang masih menunggu mendapatkan derma organ di Malaysia setakat hari ini.

“Jumlah pengikrar penderma organ selepas kematian pula adalah seramai 517,758 orang sejak 1997 namun terdapat kes kebenaran untuk pembedahan tidak diberikan waris kerana tidak dimaklumkan ketika penderma masih hidup,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Penutupan Minggu Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Kebangsaan 2022, di Dataran Projek Perumahan Rakyat Seri Alam 2, Selangor sebelum ini.

BACA JUGA Dari eksport ke import, fakta minyak Malaysia diputar belit walaun