Siapkan jentera pilihan raya mulai sekarang, arah Presiden AMANAH

Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu memberikan arahan agar semua pemimpin parti itu mempersiapkan jentera pilihan raya mereka mulai dari sekarang.

Peringatan khas beliau berikan kepada AMANAH Perlis, kata Mohamad yang turun ke negeri itu bagi menyertai majlis santai sambil pekena ikan bakar di negeri Perlis kelmarin.

(Mohamad mendengar luahan hati pemimpin dan anak muda Perlis dengan khusyuk)

“Malam ni Bang Mat sempat pekena ikan bakar dengan pimpinan dan ahli AMANAH Negeri Perlis.

“Bila dah duduk semeja ni, macam-macam cerita keluar. Tapi dalam banyak-banyak cerita tu, ada satu pesan dari Bang Mat.. jangan leka!

“AMANAH Perlis kena perkemaskan jentera dari sekarang. Jangan tunggu dekat PRU baru nak kalut bergerak,” kata beliau di majlis itu dan juga menerusi laman facebook beliau.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu turut memberikan ingatan agar semua pemimpin AMANAH menjalinkan hubungan baik dengan semua pemimpin Pakatan Harapan (PH).

“Kita dalam Kerajaan Perpaduan MADANI ni kena jaga hubungan dan eratkan Kerjasama,” kata beliau.

Bagi Mohamad, jika semua jentera berjalan dengan baik dan semua syarat dipenuhi, tidak mustahil PH boleh ditawan dalam pilihan raya umum akan datang.

“Insya-Allah, kalau syarat ni kita pegang kuat, tak mustahil Perlis boleh kita tawan semula pada PRU-16 nanti!” kata Mohamad.

(Mohamad menziarahi Datuk Hashim Jasin, Mursyidul Am Pas)

Semasa di Perlis, bekas Timbalan Presiden Pas itu meluangkan masa menziarahi Tuan Guru Datuk Haji Hashim Jasin, Mursyidul Am Pas.

“Alhamdulillah, dapat bertanya khabar dan berbual ringkas dengan sosok yang cukup dihormati ini,” katanya.

​Dalam hidup ini, katanya, “wadah perjuangan politik mungkin berbeza, jalan yang kita pilih mungkin tidak sama, namun ukhuwah sesama Muslim itu wajib kita pelihara.

“Politik hanyalah jambatan untuk kita berkhidmat kepada rakyat dan negara, tetapi tali persaudaraan adalah amanah yang melangkaui segala-galanya.

“Bang Mat mendoakan agar Tuan Guru sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik dan kekuatan oleh Allah SWT,” katanya.

BACA JUGA Pagi yang terharu buat Menteri Kesihatan