Filipina isytihar darurat tenaga, negara Asia Tenggara pertama berbuat demikian

Filipina mengisytiharkan darurat tenaga di negara tersebut ekoran krisis bekalan minyak yang melanda dunia selepas Amerika dan Israel menyerang Iran.

Ketika mengumumkan darurat tenaga di negaranya, Presiden Filipina, Ferdinand Marcos berkata beliau sedang berusaha mendapatkan sumber minyak baharu.

Beliau meletakkan negara itu di bawah keadaan darurat tenaga negara sebagai tindak balas terhadap perang di Iran.

Marcos memberitahu rakyat Filipina dalam satu ucapan yang disiarkan di televisyen bahawa kerajaan akan memperoleh satu juta tong minyak untuk ditambah kepada stok semasa, yang mencukupi untuk 45 hari.

“Kami akan memastikan aliran minyak. Bukan hanya satu penghantaran, bukan dua penghantaran, tetapi aliran produk berkaitan minyak,” katanya.

Filipina, yang mengimport 98% minyaknya dari Teluk, menjadi negara pertama mengisytiharkan darurat tenaga selepas harga diesel dan petrol tempatan meningkat lebih daripada dua kali ganda sejak perang bermula pada 28 Februari.

Perang antara AS-Israel dengan Iran serta penutupan berkesan Selat Hormuz — laluan perkapalan utama — telah mengejutkan pasaran tenaga global, menyebabkan kekurangan bekalan dan kenaikan harga.

Marcos berkata pengisytiharan darurat pada lewat Selasa akan memberi kerajaan kuasa undang-undang untuk melaksanakan langkah-langkah bagi memastikan kestabilan tenaga dan melindungi ekonomi secara keseluruhan.

“Tiada apa yang diketepikan. Kami sedang meneliti segala yang boleh dilakukan, apa sahaja cadangan, apa sahaja idea,” katanya.

BACA JUGA Thailand lepas kawalan harga minyak, beralih bantuan bersasar ketika krisis Asia Barat meruncing