Malaysia–China perkukuh kerjasama keselamatan, Anwar terima kunjungan Chen Yixin
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Menteri Keselamatan Dalam Negeri China, Chen Yixin yang dalam lawatan rasmi pertamanya ke Malaysia tahun ini, sekali gus menandakan hubungan erat antara kedua-dua negara terus diperkukuh.
Anwar berkata, kehadiran tokoh kepimpinan tinggi dari kerajaan China itu amat dihargai dan mencerminkan hubungan akrab yang terjalin sekian lama antara Kuala Lumpur dan Beijing.
Menurut beliau, pertemuan tersebut memberi tumpuan kepada kerjasama keselamatan dua hala serta perkembangan geopolitik semasa yang semakin mencabar.

“Sebagai rakan akrab kepada Malaysia, kehadiran tokoh kepimpinan tinggi dari Kerajaan China merupakan suatu ehwal yang sangat dihargai oleh saya dan seluruh jentera Kerajaan MADANI.
“Perbincangan kami terarah kepada perihal hubungan bilateral dari sisi kerjasama keselamatan dua negara, situasi geo-politik semasa dunia yang menuntut kerjasama erat dua negara sahabat dalam memastikan keselamatan dan kestabilan rantau ini terus utuh,” katanya menerusi hantaran di media sosial tengah hari ini.
Tambah Anwar, Malaysia dan China bersepakat untuk memperkukuh hubungan diplomatik serta memperluas kerjasama keselamatan dalam menghadapi cabaran masa hadapan.
Beliau menegaskan, usaha tersebut penting bagi memastikan kemakmuran sosial dan ekonomi yang dinikmati rakyat kedua-dua negara dapat terus dipelihara.
“Moga kemajuan yang dicapai bersama oleh kedua-dua negara dalam pelbagai aspek akan terus menjadi dorongan untuk terus memacu hubungan akrab Malaysia dan China,” tambah Perdana Menteri.
BACA JUGA Thailand lepas kawalan harga minyak, beralih bantuan bersasar ketika krisis Asia Barat meruncing