Rundingan dengan Iran mesti untuk tamatkan perang, kata Anwar kepada Al Jazeera
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sebarang rundingan dengan Iran mesti bertujuan untuk menamatkan perang antara Amerika Syarikat dan Israel dengan negara itu, bukannya sekadar memberi kelebihan taktikal atau jeda sementara.
Beliau juga menegaskan semula hak Iran untuk mempertahankan kedaulatannya, sambil menggesa semua pihak supaya menahan diri bagi mengelakkan kesan buruk yang lebih meluas di rantau tersebut, lapor Al Jazeera.
Anwar berkata demikian ketika ditemubual oleh Al Jazeera berhubung dengan perang yang berlaku di Timur Tengah sekarang.
Sebelum ini, Anwar menyambut baik usaha Pakistan untuk menjadi orang tengah bagi menyelesaikan perang di Timur Tengah itu.
Sewaktu perbualan telefon dengan rakan sejawat beliau dari Pakistan, Shehbaz Sharif, beliau menyambut baik peranan yang dimainkan oleh Pakistan dalam meredakan ketegangan, termasuk usaha mempertemukan pihak-pihak berkepentingan.
“Malaysia kekal berpendirian bahawa sebarang inisiatif ke arah menghentikan pertumpahan darah dan memulihkan kestabilan serantau wajar disokong sepenuhnya,” kata Anwar.
Beliau juga turut mengambil kesempatan bertukar ucapan Aidilfitri, sambil mendoakan keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan buat seluruh rakyat di kedua-dua negara.
BACA JUGA Selepas dakwa MP PKR terima rasuah RM9.5 juta, kini Victor Chin ubah dakwaan