Thailand lepas kawalan harga minyak, beralih bantuan bersasar ketika krisis Asia Barat meruncing

Thailand telah menghentikan usaha untuk mengehadkan harga bahan api domestik yang meningkat susulan perang di Asia Barat, lapor Bangkok Post.

Timbalan Perdana Menteri, Ekkanit Nitithanprapas berkata, kerajaan akan menawarkan bantuan bersasar kepada sektor yang paling terkesan oleh kenaikan harga.

Ekkanit yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan sebaliknya akan memberikan tumpuan kepada langkah bantuan bersasar.

Menurutnya, kerajaan terpaksa membenarkan harga diesel bergerak mengikut mekanisme pasaran, sambil memberi amaran bahawa pengekalan had siling harga boleh mengakibatkan aktiviti menyorok bekalan dan kekurangan bahan api.

“Jika kita terus menetapkan harga, aktiviti menyorok bekalan pasti akan berlaku.

“Oleh itu, kita mesti membenarkan harga mengikut mekanisme pasaran, sambil menguruskan kesan terhadap kumpulan rentan, serta sektor pengangkutan dan pertanian,” katanya dalam satu program televisyen kelmarin.

Jelas Ekkanit, kerajaan akan menggunakan Dana Bahan Api Minyak bagi mengelakkan harga meningkat terlalu mendadak walaupun pihaknya tidak boleh melawan kuasa pasaran.

“Kita tidak boleh melawan pasaran – jika kita cuba, kita akan kalah. Pelarasan harga secara beransur-ansur juga tidak berkesan.

“Dalam krisis tenaga yang ketara seperti ini, semua sektor mesti menyesuaikan diri.

“Kami akan berusaha mengurangkan kesan kepada orang awam, terutama mereka yang paling terjejas, tetapi harga bahan api akhirnya mesti mencerminkan keadaan pasaran,” katanya.

Harga bahan api domestik meningkat berkuat kuasa pukul 5 pagi pada 24 Mac, dengan harga petrol naik sebanyak 2 baht seliter dan diesel sebanyak 1.80 baht seliter (100 baht = RM12.15).

Petrol Gasohol 95 berharga 35.05 baht (RM4.26) seliter dan Gasohol 91 pada 34.68 baht (RM4.21) seliter, manakala Diesel B7 berada pada paras 32.94 baht (RM4.00) seliter.

BACA JUGA Selat Hormuz ‘terkunci’, 3,300 kapal tangki berdepan krisis air dan makanan