Ini penyelarasan sementara untuk pastikan bekalan kekal ketika krisis
Tindakan kerajaan mengurangkan kouta bulanan RON95 kepada 200 liter sebulan adalah tindakan penyelarasan sementara untuk memastikan bekalan minyak kekal mencukupi ketika krisis global.
Tindakan ini dilihat satu keperluan bagi memastikan rakyat negara ini tidak terputus bekalan minyak ketika krisis perang akibat dari serangan Amerika dan Israel ke atas Iran.
Menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, bekalan minyak di seluruh dunia terjejas teruk ekoran penutupan Selat Hormuz di mana hampir 2,000 kapal tangki yang membawa bekalan minyak terjejas teruk.
Ia telah mengakibatkan kos insurans meningkat 16 kali ganda yang menyebabkan kos pengangkutan melalui kapal meningkat tiga kali ganda.
“Ini krisis global bukan krisis domestik dan kerajaan perlu menguruskan hal ini supaya bekalan minyak terjamin dan tidak memberikan kesulitan besar rakyat,” katanya.
Beliau juga menjelaskan bahawa, Malaysia sekarang adalah negara pengimport minyak (net importer) kerana pengeluaran minyak negara kurang dari keperluan.
“Keperluan kita adalah kira-kira 800,000 tong sehari sedangkan pengeluaran kita hanya 465,000 tong sehari.
“Oleh kerana defisitnya besar, kita perlu mengawal bekalan minyak ini,” kata Fahmi.
Atas sebab itu, kerajaan mengurangkan kouta minyak untuk memastikan semua pihak berjimat dalam penggunaan bahan api ini.
Atas sebab itulah, kerajaan membuat penyelarasan sementara ini iaitu:-
- Kuota BUDI95 diselaraskan (300L → 200L)
- Gig worker kekal 800L
- Diesel Sabah/Sarawak dikawal ikut kenderaan
- Penguatkuasaan dipertingkat (banteras penyeludupan)
- Kerja dari rumah (WFH) sektor tertentu
“Fokus kita adalah untuk cukupkan bekalan sampai krisis reda,” katanya.
Tindakan kerajaan ini adalah untuk melindungi kepentingan rakyat melalui pengekalan subsidi di mana RON95 masih murah manakala harga diesel untuk kenderaan lojistik masih mendapat diesel dengan harga RM2.15.
Berbanding dengan negara jiran, Malaysia masih jauh lebih beruntung, Thailand misalnya menghadapi masalah kenaikan harga minyak di samping bekalan yang tidak stabil dan dicatu.
Di Filipina pula, darurat tenaga telah diisytiharkan dengan 400 stesen minyak telah ditutup.
Sedangkan di Malaysia masih ada subsidi, bekalan kekal dan tidak ada pembelian panik.
Dalam masa sama, kerajaan sedang mencari sumber alternatif termasuk dari Rusia dan China dengan mengurangkan pergantungan kepada Timur Tengah di samping mengawal ketirisan dan penyeludupan.
“Tindakan ini bukan naik suka-suka, ini krisis global. Kerajaan pula hanya membuat penyelarasan sementara, bukan potong kekal.
“Tindakan ini dibuat kerana lebih baik minyak ada daripada murah tapi kosong. Sebab itu, negara lain dah krisis, Malaysia masih terkawal.
“Fokus kerajaan sekarang menjamin bekalan dan lindungi rakyat,” kata beliau.
BACA JUGA Teks penuh ucapan khas PM Anwar