Tiga ahli Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Perlis menerima bantuan berjumlah RM28,000 daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) susulan kebakaran yang memusnahkan kediaman mereka pada 17 Mac lalu.

Mereka merupakan sebahagian daripada lima keluarga di Kampung Pulau Ketam yang terjejas dalam kejadian tersebut.

Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, ketiga-tiga nelayan berkenaan layak menerima bantuan di bawah Tabung Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan.

“Dua nelayan iaitu Razlee Abdul Rahman dan Roslin Musa masing-masing menerima RM11,000, manakala Che Saad Hassan menerima RM6,000,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian ketika melawat keluarga nelayan terlibat serta menyampaikan bantuan di Kampung Pulau Ketam.

Menurutnya, tabung berkenaan memperuntukkan sebanyak RM2 juta setahun dengan kadar maksimum RM10,000 bagi setiap nelayan yang layak, dan diagihkan secara adil bagi membantu mereka yang terjejas akibat bencana.

Bantuan itu meliputi kerosakan harta benda seperti rumah serta peralatan menangkap ikan akibat kebakaran atau ribut.

Dalam perkembangan sama, Kerajaan MADANI di peringkat Persekutuan turut bersetuju membina rumah baharu bagi lima keluarga mangsa dengan kos RM80,000 bagi setiap unit.

BACA JUGA Ini penyelarasan sementara untuk pastikan bekalan kekal ketika krisis