Tak membazir tapi tak kedekut, Azli puji pendekatan kerajaan tangani krisis tenaga
Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof berkata, pendekatan sederhana antara tidak membazir dan tidak kedekut yang digariskan dalam ajaran Islam, menjadi asas penting kepada langkah Kerajaan MADANI dalam mendepani krisis tenaga global ketika ini.
Beliau berkata, langkah kerajaan mengekalkan subsidi petrol adalah satu pendekatan bijaksana yang tidak membebankan rakyat secara mendadak.
Tetapi pada masa sama, tidak membiarkan sumber digunakan tanpa kawalan.
Beliau menjelaskan, pendekatan tersebut mencerminkan keseimbangan antara membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup dan memastikan pengurusan kewangan negara kekal mampan.
Azli yang juga Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional menegaskan bahawa rakyat perlu memainkan peranan dengan mengamalkan penggunaan berhemah dan mengelakkan pembaziran, meskipun subsidi masih diberikan.
“Subsidi bukan lesen untuk kita boros. Kita perlu merancang perjalanan, berkongsi kenderaan dan menggunakan bahan api secara lebih efisien,” ujarnya.
Beliau mengingatkan agar semua pihak tidak mengambil kesempatan dalam situasi mencabar ini, sebaliknya bersama-sama menyokong usaha kerajaan demi kepentingan bersama.
“Sikap mengambil peluang ketika orang lain susah bukanlah sifat orang beriman. Sebaliknya, kita dituntut untuk saling membantu dan memahami keadaan semasa,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau Timbalan Pengerusi AMANAH Selangor itu berkata penjimatan bukan tanda kelemahan, sebaliknya mencerminkan kebijaksanaan dalam mengurus nikmat yang dikurniakan.
“Tidak membazir walaupun mampu, tidak kedekut walaupun berjimat, maka inilah keseimbangan yang perlu kita hayati dalam kehidupan dan juga dalam dasar negara,” katanya.
Beliau berharap usaha kecil rakyat dalam berjimat cermat serta sokongan terhadap inisiatif kerajaan akan menyumbang kepada kesejahteraan bersama dan menjadi amalan yang diberkati.
BACA JUGA SPR digesa wartakan peraturan benar rakyat Sarawak di Semenanjung undi secara pos