Tak sampai tahap perlu bercatu, bekalan minyak cukup sampai Mei
Perdana Menteri memberi jaminan bekalan minyak semasa negara masih mencukupi untuk tempoh hingga Mei, namun kerajaan tidak bergantung kepada jaminan itu semata-mata dan mula mencari sumber alternatif sebagai langkah berjaga-jaga.
Pun begitu, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia masih belum berada di tahap rumit seperti negara jiran yang terpaksa melakukan catuan bekalan minyak susulan ketegangan berterusan di Asia Barat yang memberi kesan langsung kepada pasaran global
Katanya, kerajaan akan terus memantau situasi bekalan tenaga setiap hari.
“Setakat ini Alhamdulillah, kalau sudah lihat umpamanya keadaan gawat di beberapa negara sekeliling kita, kita harus bersyukur, jangan terlalu leka dan terlalu sibuk dalam soal politik, sebaliknya tumpu untuk membela nasib rakyat dan negara,” katanya kepada pemberita selepas solat Jumaat hari ini.
Berbeza dengan negara yang bergantung kepada satu sumber, Malaysia mempunyai akses kepada bekalan dari beberapa lokasi strategik termasuk di Brazil, Suriname dan Kanada.
Beliau menambah, keutamaan kerajaan ketika jni adalah memastikan rakyat tidak terkesan dengan krisis luar, termasuk lonjakan harga dan kekurangan bekalan.
Kerajaan juga mengambil pendekatan proaktif dengan mengadakan mesyuarat khas melibatkan aspek ekonomi dan keselamatan negara.
“Satu pertemuan bersama semua Menteri Besar, Ketua Menteri serta pemimpin politik pelbagai parti akan diadakan bagi menyelaras tindakan secara menyeluruh,” ujarnya.