Bila nak ‘membuang’ pun payah, mereka memberontak?
Oleh DATUK NIK MOHD HASYUDEEN YUSOFF
Dari pelbagai laporan yang saya baca, memang Israel diserang teruk dengan Iran.
Berbeza dengan kaedah Israel menyerang kemudahan awam, serangan Iran lebih berstrategik dengan menumpukan kepada aset ketenteraan, logistik, radar dan membalas apa yang Israel buat ke atasnya.
Malah, mereka kerap menyerang orang awam secara “double tap”. Bom dahulu sasaran. Tunggu sehingga pasukan perubatan dan orang ramai datang membantu. Kemudian bom sekali lagi.
Cuma, di dalam peperangan Iran kali ini, kekerapan misil-misil Iran menghujani Isreal menyebabkan rakyatnya terpaksa keluar masuk kubu bawah tanah.
Sudah tentu kemudahan di situ bukannya seperti hotel. Sudahlah trauma, nak berak pun susah. Bila dah sebulan, boleh bayangkan keadaan di dalam kubu itu.

Sekarang sudah ada rakyat yang tunjuk perasaan. Jika dahulu mereka melompat-lompat dan menari-nari apabila penduduk Gaza dibom, sekarang giliran mereka pun.
Cuma anda perhatikan Iran hanya fokus kepada sasaran fizikal, bukannya mahu membunuh orang seperti Israel.
Sekiranya infrastruktur kritikal Israel hancur sedikit demi sedikit, ia mungkin akhirnya tidak lagi berdaya maju sebagai sebuah negara.
Ramai mana rakyatnya yang dah cabut, kita tidak tahu.
Masih ditutup
Sementara itu, Masjidil Aqsa masih ditutup. Kerajaan-kerajaan negara Teluk tidak ambil hal pun perkara ini.
Oleh sebab mereka malu-malu hendak berkerjasama dengan Israel, mereka memasuki perjanjian dengan Ukraine untuk membeli sistem pertahanan dron.
Iran dengan selamba sudah pun mengebom sebuah depoh dron Ukraine. Apa lagi yang Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky mahu ‘goreng’ nanti?
Di Tebing Barat, proses merampas harta orang-orang Palestin masih berjalan. Beberapa penempatan haram baharu Yahudi diluluskan oleh kerajaan.
Saya mahu juga lihat muka Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, yang kononnya menjadi kerajaan di situ. Ada lagi ke dia?
Dalam memerhati peperangan, kita tidak boleh lihat bab bom mengebom sahaja. Kena juga memerhati dimensi sosial.
Ini adalah kerana inilah kesan strategik yang akan mencorakkan penyelesaian peperangan nanti. Jika moral Yahudi hancur, lagi ramai yang akan meninggalkan Israel.
Memanglah berbeza kesannya apabila berlaku peperangan di antara masyarakat Iran yang syahid adalah idaman mereka dengan masyarakat zionis yang kalau boleh tidak mahu mati.
Apabila susah nak berak, kita boleh agak yang mana satu yang tidak keruan dahulu.
*DATUK NIK MOHD HASYUDEEN YUSOFF merupakan Ahli Lembaga Pengarah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
BACA JUGA RM300 sekali isi habis?, ini fakta sebenar BUDI Madani Diesel