Dunia di ambang bencana global, MP DAP ini gesa rakyat Malaysia bersatu

Malaysia berdepan risiko tempias krisis global yang semakin memuncak susulan konflik di Asia Barat, dengan kemungkinan tercetusnya perang dunia jika eskalasi terus berlaku.

Ahli Parlimen Ipoh Timor, Howard Lee memberi amaran bahawa dunia kini menghampiri satu titik kritikal yang boleh mencetuskan reaksi berantai terhadap ekonomi, tenaga dan keamanan global.

Justeru, beliau menggesa kerajaan Malaysia menggunakan semua saluran diplomatik untuk mendesak Amerika Syarikat (AS) dan kuasa besar lain agar mengamalkan kekangan maksimum, termasuk mengelakkan pencerobohan darat ke atas Iran.

Wakil rakyat DAP berkenaan berpendapat satu langkah ke arah itu berisiko menukar perang serantau menjadi bencana global yang tidak akan menyisakan mana-mana negara.

“Perang ini mungkin kelihatan jauh buat masa ini, tetapi ia sudah pun menjadi krisis kos sara hidup global yang semakin memburuk bagi setiap isi rumah Malaysia daripada harga petrol hingga inflasi makanan.

“Kita sedang menghampiri “Detik Franz Ferdinand” zaman kita di mana satu eskalasi sahaja boleh mencetuskan reaksi berantai merentasi pasaran tenaga, laluan perdagangan, ekonomi negara, dan yang paling penting, keamanan dunia,” menurut kenyataan beliau sebentar tadi.

Pemimpin tersebut menambah bahawa lonjakan harga minyak dunia telah meningkatkan beban subsidi kerajaan secara mendadak.

Menurutnya, subsidi sebelum krisis yang sekitar RM700 juta sebulan kini meningkat kepada sekitar RM4 bilion sebulan serta berpotensi mencecah RM10 hingga RM15 bilion sebulan jika harga minyak melonjak ke paras ekstrem

Katanya, tiada kerajaan mampu menanggung beban fiskal sebesar itu dalam jangka panjang tanpa menjejaskan masa depan ekonomi negara.

Dalam masa sama, Howard turut mendedahkan pergerakan ketenteraan AS di rantau itu menunjukkan persiapan ke arah konflik lebih besar.

Ia termasuk penempatan pengebom strategik, pergerakan kapal induk dan pasukan amfibia serta kesiapsiagaan pasukan elit dan infantri.

Beliau menegaskan, perkembangan tersebut bukan sekadar isyarat politik, sebaliknya petunjuk kesiapsiagaan perang berskala besar.

Sehubungan itu, Howard mengingatkan bahawa krisis di Timur Tengah berpotensi memberi kesan kepada setiap isi rumah dan perniagaan di Malaysia sekiranya terus memburuk.

“Jika krisis ini semakin buruk, ia akan menguji setiap isi rumah dan setiap perniagaan. Jika kita berpecah, kita akan menjadi lebih lemah—dan lebih ramai akan terjejas,” tambah beliau lagi.

BACA JUGA MIC tak jadi masuk PN, Saddiq-Bella jadi bertunang