Harga minyak global meningkat, ini cara kerajaan terus lindungi rakyat pastikan kestabilan harga barangan
Malaysia akan terus melindungi rakyat serta memastikan kestabilan harga barangan walaupun harga minyak global meningkat ketika ini susulan konflik di Asia Barat.
Menurut Kementerian Kewangan (MOF), usaha tersebut dibuat melalui Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
Kedua-dua system kawalan itu merupakan subsidi bahan api bagi sektor pengangkutan darat dan air awam serta pengangkutan barangan tertentu.
“Langkah ini membantu agar kos pengangkutan terkawal dan harga barangan kekal stabil.
“Kerajaan akan terus memantau perkembangan global dan mengambil pendekatan berhemah demi melindungi kesejahteraan rakyat,” kata MOF menerusi hantaran di media sosial hari ini.
Menerusi kenyataan itu, MOF turut berkongsi infografik yang menunjukkan harga runcit petrol bersubsidi di bawah SKPS bagi sektor pengangkutan darat dan air awam serta pengangkutan darat barangan dikekalkan pada RM2.05 seliter.
Sementara itu, bagi SKDS, harga runcit diesel bersubsidi bagi sektor pengangkutan darat awam kekal pada RM1.88 seliter manakala bagi sektor pengangkutan darat barangan dikekalkan pada RM2.15 seliter.
BACA JUGA 28 pelajar AS nikmati pengalaman bermakna di masjid Pulau Pinang