Nurul Izzah masih komited jalani tugas dalam parti

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar masih komited menjalankan tugas yang diamanahkan dalam parti tersebut.

Anak sulung kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu menafikan dakwaan beliau meletak jawatan.

Tegas bekas Ahli Parlimen Lembah Pantai berkenaan, khabar angin yang tular sebelum ini adalah tidak benar sama sekali.

“Saya ingin menjelaskan bahawa dakwaan berhubung peletakan jawatan saya sebagai Timbalan Presiden KEADILAN adalah tidak benar,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Dalam masa sama, Nurul Izzah berkata beliau menekankan bahawa tiada sebarang rombakan berlaku dalam struktur kepimpinan tertinggi PKR setakat ini.

“Saya kekal menjalankan amanah ini selaras dengan tanggungjawab dan proses parti, serta tiada sebarang perubahan dalam struktur kepimpinan,” katanya.

Sejak awal pagi tadi, desas-desus Nurul Izzah melepaskan jawatan nombor dua dalam PKR itu tular di media sosial sehingga mengundang pelbagai reaksi terutama dalam kalangan anggota parti.

Mengulas lanjut, Nurul Izzah menasihatkan orang ramai dan ahli parti agar tidak mudah terpedaya dengan spekulasi atau maklumat yang tidak mempunyai asas yang kukuh.

“Saya menghargai keprihatinan semua pihak, dan menggalakkan orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan maklumat yang tidak disahkan serta sentiasa merujuk kepada kenyataan rasmi parti bagi mendapatkan maklumat yang sahih,” kata bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu lagi.

BACA JUGA Kes pemandu mabuk: AMANAH syor hukuman sebat, batal lesen serta-merta