Pemandu mabuk bakal wajib bayar ganti rugi selain dipenjara

Pemandu bawah pengaruh alkohol bakal diwajibkan membayar ganti rugi kepada keluarga mangsa selain dikenakan hukuman penjara.

Kementerian Pengangkutan sedang merangka cadangan pelaksanaan tersebut untuk pindaan lanjut terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, sebelum ini, pindaan undang-undang berkaitan telah diluluskan di Dewan Rakyat dan berkuat kuasa pada Oktober 2020 yang memperuntukkan hukuman lebih berat terhadap pesalah.

Menerusi kenyataan hari ini, beliau berkata, mana-mana individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kematian boleh dihukum penjara tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak melebihi 15 tahun menurut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Ia serta denda antara RM50,000 hingga RM100,000, jika disabitkan kesalahan.

“Bagi kesalahan berulang, hukuman adalah lebih berat, iaitu penjara tidak kurang daripada 15 tahun dan tidak melebihi 20 tahun, serta denda antara RM100,000 hingga RM150,000,” jelasnya.

Dalam masa sama, Kementerian Pengangkutan (MOT) turut merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga Amirul Hafiz Omar.

Mangsa terlibat dalam nahas tragis di Jalan Raya Barat, Klang semalam akibat pemandu yang berada di bawah pengaruh alkohol dan dadah.

Loke berkata, kehilangan itu amat menyayat hati dan insiden sebegini bukan sahaja meragut nyawa yang tidak berdosa, malah merupakan satu bentuk kecuaian jenayah yang tidak boleh diterima sama sekali.

“MOT memandang serius kejadian ini dan menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol mahupun dadah,” kata beliau lagi.

Mangsa terhempas di atas kereta selepas melambung tinggi dan berpusing beberapa kali akibat rempuhan kereta dipandu pemabuk.

Untuk rekod, Amirul, 33, melakukan kerja sambilan sebagai penghantar Lalamove pada waktu malam selepas selesai bekerja di gudang.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.40 pagi yang turut membabitkan dua kereta itu, beliau maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta dipandu individu yang kemudian disahkan dipandu individu di bawah pengaruh alkòhol dan dàdah.

Menerusi rakaman kamera papan pemuka (dashcam) yang tersebar di media sosial, mangsa dilihat melambung tinggi dan berpusing beberapa kali di udara sebelum terhempas di atas kereta Myvi.

Allahyarham yang berasal dari Kampung Repoh, Batu Kurau, Perak meninggalkan seorang balu, Nor Nadia Abdul Majid (32), serta tiga anak iaitu Mohd Aqif Hamsyar (9), Mohd Afif Izz Ryqal (7) dan Nur Humaira (2 tahun 5 bulan).

BACA JUGA Victor Chin antara 10 individu pernah ditahan dalam operasi Op Viking