Trump dedah agenda mahu “ambil minyak Iran”

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata, apa yang paling diinginkan beliau ketika ini adalah untuk “mengambil minyak yang ada di Iran”.

Beliau mendakwa Washington mempunyai keupayaan untuk menawan Pulau Kharg, hab eksport utama minyak Iran.

Hasrat itu didedahkan dalam temu bual bersama akhbar Financial Times.

“Sejujurnya, perkara kegemaran saya ialah mengambil minyak Iran, tetapi ada orang bodoh di AS yang bertanya, ‘kenapa kamu buat begitu?’ Mereka ini orang bodoh,” kata Trump.

Apabila ditanya mengenai keupayaan pertahanan Iran di Pulau Kharg, Trump mendakwa pulau berkenaan hampir tidak dilindungi dan boleh diambil dengan mudah.

“Saya tidak fikir mereka mempunyai sebarang pertahanan. Kita boleh menawannya dengan sangat mudah,” katanya.

Kenyataan Trump itu dijangka menambah lagi ketegangan serantau di tengah konflik berterusan antara AS, Israel dan Iran, selain mencetuskan kebimbangan antarabangsa mengenai keselamatan infrastruktur tenaga serta laluan eksport minyak di Teluk.

BACA JUGA Banding harga minyak zaman Covid, FB Pas Klang kena kritik penyokong sendiri