El Nino 2026: DOF bertindak lindungi bekalan ikan negara

Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) mengambil langkah proaktif bagi memastikan bekalan ikan negara kekal stabil susulan jangkaan fenomena El Nino yang dijangka melanda negara tahun ini.

Jabatan itu menyarankan pengusaha akuakultur, khususnya penternak ikan sangkar dan kolam, supaya melaksanakan langkah mitigasi awal bagi mengurangkan kesan cuaca panas ekstrem terhadap operasi mereka.

Ketua Pengarah Perikanan, Adnan Hussain, berkata fenomena El Nino boleh memberi kesan besar kepada ekosistem akuakultur termasuk peningkatan suhu air, risiko penularan penyakit dan ancaman ledakan alga berbahaya.

“Peningkatan suhu air boleh mengurangkan kandungan oksigen terlarut serta menyebabkan stres kepada ternakan, sekali gus meningkatkan risiko penyakit dan kematian ikan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, terdapat 1,714 pengusaha sangkar air tawar di seluruh negara dengan pengeluaran mencecah 17,744.02 tan metrik pada tahun 2025, sekali gus menjadikan sektor itu penting dalam menjamin bekalan protein negara.

Selain itu, pengusaha turut diingatkan mengenai risiko ledakan alga (algal bloom) yang boleh berlaku akibat cuaca panas, yang berpotensi menyebabkan kekurangan oksigen pada waktu malam dan meningkatkan risiko kematian ikan secara besar-besaran.

Sehubungan itu, DOF menggariskan beberapa langkah mitigasi termasuk mengurangkan kepadatan ternakan, mengawal pemberian makanan, serta memantau parameter air seperti suhu dan tahap oksigen secara berkala.

Penggunaan peralatan sokongan seperti kincir air dan pam tambahan juga digalakkan bagi meningkatkan peredaran oksigen dalam kolam dan sangkar.

Dalam pada itu, pengusaha yang terjejas boleh membuat laporan bagi tujuan rekod serta rujukan permohonan bantuan di bawah Sistem Penyampaian dan Khidmat Sokongan (SPeKS) Akuakultur, tertakluk kepada kelulusan serta peruntukan semasa.

DOF menegaskan komitmennya untuk terus membantu komuniti akuakultur menghadapi cabaran perubahan iklim, sekali gus memastikan bekalan ikan negara kekal mencukupi dan stabil