Krisis tenaga bukan gurauan, rakyat digesa berjimat

Rakyat Malaysia tidak harus memandang ringan keadaan krisis di Asia Barat yang semakin meruncing, tegas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Menurutnya, rakyat perlu mengamalkan langkah penjimatan bahan api bagi mengurangkan potensi gangguan sekiranya konflik tersebut berterusan.

“Ini bukan perkara yang boleh dibuat gurauan. Ia adalah perkara yang sangat, sangat serius,” katanya.

Loke berkata demikian ketika berucap pada majlis pembiayaan sekolah untuk SMKJ Chan Wa hari ini.

Ahli Parlimen Seremban berkenaan berkata, sepanjang bulan lalu, kos tenaga meningkat lebih 100 peratus, dengan banyak industri terjejas.

“Beberapa negara sudah berada dalam mod kecemasan. Sebagai contoh, Filipina telah mengisytiharkan darurat tenaga.

“Negara berhampiran kita seperti Thailand dan Vietnam juga sudah berdepan kekurangan bekalan, dengan orang ramai beratur untuk mendapatkan bahan api.

“Syukurlah keadaan ini belum berlaku di negara kita tetapi kita tidak boleh mengambil mudah kerana lambat-laun, kita akan merasai kesannya,” kata Loke.

Semakin meruncing

Perang antara Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran, yang sudah melepasi hari ke-30 menyaksikan krisis tenaga global semakin meruncing.

Sejak 28 Februari lalu, AS-Israel dilapor sengaja menyasarkan kawasan orang awam termasuk sekolah, hospital dan bangunan kediaman.

Sementara itu, tentera Iran melancarkan gelombang serangan dron yang besar-besaran dengan menyasarkan kemudahan strategik di Israel serta pangkalan AS di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Kuwait.

Mengulas lanjut, Loke memberi amaran bahawa rakyat Malaysia perlu mula mengamalkan tabiat penjimatan bahan api bagi mengurangkan kesan gangguan jika konflik berlarutan.

“Kita tidak boleh membazir sumber. Sumber tidak tidak terhad dan boleh habis.

“Contohnya dalam pengangkutan, kita perlu menggalakkan orang ramai merancang perjalanan dengan lebih efisien. Rakyat Malaysia cenderung bergantung kepada pemanduan kerana petrol disubsidi.

“Tetapi kita mesti mengurangkan perjalanan yang tidak perlu dan menjadi lebih efisien.

“Jika ada pilihan untuk menggunakan pengangkutan awam, sila gunakannya,” kata wakil rakyat DAP berkenaan.

BACA JUGA Dunia tengah krisis tenaga, dia anjur konvoi motor, gila ke apa