Panas dengan saranan naik basikal, Ahmad Maslan kongsi gambar ketawa
Di tengah-tengah isu hangat susulan cadangan menggunakan basikal sebagai langkah berdepan kenaikan harga minyak, Datuk Seri Ahmad Maslan memuat naik satu foto dirinya sedang ketawa.
Hantaran ringkas tersebut sebagai membalas sindiran pihak pembangkang yang memainkan isu tersebut beberapa hari ini.
“Kenapa ketawa? Teringat cadangan saya ‘basikal adalah kaedah yang sihat untuk ke tempat yang dekat’.
Ahmad Maslan berkata, beliau berkongsi gambar ketawa kerana sekadar teringat kembali cadangan yang dikemukakannya, sambil menegaskan bahawa saranan berbasikal itu merujuk kepada perjalanan jarak dekat, bukannya perjalanan antara bandar.
“Bukan saya cadang naik basikal dari Pontian ke Johor Bahru atau Putrajaya ke Kuala Lumpur. Maksud saya dalam bandar Pontian atau dalam bandar Putrajaya.
“Ada 7 cadangan, yang lain tak nak beri komen ke?” tulisnya.
Terdahulu, Ahmad Maslan mengemukakan tujuh cadangan bagi membantu rakyat menghadapi kenaikan harga minyak.
Antaranya menyarankan lebih banyak pengeluaran kenderaan elektrik; memperhebat kajian dan membina kilang biodiesel daripada kelapa sawit; beri insentif kepada mereka yang berkongsi kenderaan ke tempat kerja (carpooling); selain menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam.
Dalam cadangan itu, Ahmad Maslan juga menyatakan bahawa “basikal adalah kaedah yang sihat untuk ke tempat yang dekat”.
Namun cadangan tersebut menjadi tumpuan dan dipetik secara berasingan sehingga mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial.
BACA JUGA Lelaki terpaksa bawa keranda ke stesen minyak demi buktikan beli diesel bukan untuk sorok