Pemain industri ruminan berkumpul merancang untuk perkuat industri makanan

Pemain industri ruminan hari ini berkumpul di Putrajaya bagi menyertai Program Pemerkasaan Industri Ruminan Negara di bawah Rancangan Malaysia Ke 13 (RMK-13).

Program yang dirasmikan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu ini bukan sekadar majlis pelancaran, tetapi satu usaha besar untuk perkuatkan industri makanan negara, khususnya bekalan daging dan susu tempatan.

Mohamad ketika berucap (gambar atas) berkongsi realiti, bagaimana negara masih bergantung tinggi kepada import daging dari luar negara.

Ruminan adalah haiwan makan rumput termasuk lembu, kerbau, kambing, biri-biri dan seumpamanya yang banyak menjadi sumber makanan untuk manusia.

“Kadar sara diri (SSR) daging lembu dan kerbau kita baru sekitar 15% hingga 20% sahaja.

“Ini bermakna kita kena buat sesuatu yang lebih agresif untuk tingkatkan pengeluaran dalam negara,” kata beliau.

Pada masa sama, katanya, industri ruminan negara ini sebenarnya ada potensi besar.

“Walaupun kebanyakannya masih berskala kecil, nilai industri ini sudah mencecah RM1.7 bilion.

“Jadi kalau kita urus dengan lebih tersusun, guna teknologi dan tambah kapasiti, insya-Allah kita boleh pergi lebih jauh,” katanya.

(Para penggiat industri ruminan berkumpul bagi meningkat usaha perkasa sektor makanan negara bersama Mohamad Sabu)

Untuk sektor tenusu pula, katanya, perkembangan sangat positif.

Pengeluaran susu segar meningkat dengan ketara, dan kerajaan sasarkan Malaysia capai 100% sara diri susu segar menjelang 2030.

Sebab itu, dalam RMK-13, fokus kepada:

✅ Tingkatkan pengeluaran ternakan
✅ Perkukuh rantaian bekalan
✅ Kurangkan kos penternakan
✅ Galakkan penggunaan teknologi moden

“Bang Mat juga nak tekankan kejayaan industri ini bukan kerja kerajaan semata-mata. Peranan pemain industri sangat penting. Kita kena bergerak bersama, satu pasukan.

“Bang Mat yakin kalau semua pihak berganding bahu, kita bukan sahaja mampu kurangkan kebergantungan import, malah boleh capai keterjaminan makanan negara yang lebih kukuh.

“Insya-Allah, usaha ini untuk masa depan rakyat dan negara kita,” kata beliau di depan penggiat industri ruminan di seluruh negara itu.