Penutupan laluan kapal: Sekarang 20%, kalau 32% macamana?
Oleh NIK HASYUDEEN
Hari ni mesyuarat pagi petang. Semuanya isu berat-berat. Nak buat macamana. Apabila kita diberikan amanah, kita kena buat yang terbaik. Ini adalah kerana setiap amanah akan dihisab oleh Allah. Menakut, kan?
Sekarang baru sampai di rumah dan tengok apa yang berlaku di dalam dunia ini. Ada banyak perkara yang berlaku di luar negara yang akhirnya memberi kesan ke atas kehidupan kita.
Namun, ada juga orang yang tidak mahu menerima hakikat yang ada. Benda yang tak boleh dikawal pun nak salahkan orang lain.
Contohnya, apabila bekalan minyak berkurangan, harga minyak naik. Budak sekolah yang belajar ekonomi 101 akan faham perkara ini.
20% minyak dan gas dunia diekspot dari negara-negara Teluk melalui Selat Hormuz. Sekarang Iran hanya membenarkan kapal-kapal dari negara-negara tertentu untuk melaluinya.
Ansarallah dari Yemen pun dah masuk gelangang. Sekarang mereka tembak Israel dari jauh sahaja. Namun, mereka dah senaraikan perkara-perkara yang akan menyebabkan mereka akan menutup Bab Al- Mandab di Laut Merah.
Kira-kira 12% minyak dan gas melalui kawasan berkenaan. Jadi, risiko 32% bekalan minyak dunia tersekat ada. Ini adalah tahap yang amat membimbangkan.
Orang yang melihat fakta akan mula merancang strategi yang perlu diambil sekiranya risiko ini berlaku. Bukan minyak sahaja yang berkurangan dan mahal, banyak barangan lain akan naik harga.
Contohnya baja. Ianya banyak menggunakan kimia yang dihasilkan dari minyak. Apabila bekalan baja berkurangan, harga akan naik. Ini akan menaikkan harga makanan.
Di dalam ketika yang sama, ada juga pihak yang nak “yoya-yoya”, nak cerita yang baik-baik sahaja seolah-olah tidak ada masalah di luar sama. Orang macam ni akan terkejut beruk sekiranya risiko yang saya sebutkan di atas benar-benar berlaku.
Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, usahawan bukan sahaja kena mencari data dan maklumat tetapi menafsirkan data dan maklumat dengan jujur. Kena terima hakikat walaupun dapatan dari analisa kita tidak kena dengan apa yang kita suka.
BACA JUGA Penerbangan pertama Air Asia perkenal baju bertudung pramugarinya