PMX rakam ucapan tahniah kepada penerima keputusan SPM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, merakamkan ucapan tahniah kepada semua pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan hari ini.

Beliau berkata kejayaan yang diraih wajar dijadikan asas untuk terus melangkah dengan tekad dan keyakinan dalam menempuh cabaran di peringkat lebih tinggi.

“Tahniah kepada semua anak-anak yang menerima keputusan cemerlang hari ini. Terus melangkah dengan tekad dan keyakinan untuk melakar kecemerlangan seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa pencapaian akademik bukan sekadar kejayaan peribadi, sebaliknya memainkan peranan penting dalam usaha membina negara yang berteraskan ilmu, nilai dan keinsanan.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan pelajar yang kurang bernasib baik agar tidak berputus asa, sebaliknya menjadikan pengalaman tersebut sebagai pemangkin untuk bangkit dan terus berusaha.

“Perjalanan ini masih panjang dan ruang untuk bangkit sentiasa terbuka buat mereka yang terus berusaha tanpa kenal lelah,” katanya.

Beliau menambah bahawa masa depan seseorang tidak ditentukan oleh satu keputusan semata-mata, sebaliknya bergantung kepada kesungguhan, disiplin dan keazaman untuk terus berjaya.

Menurutnya, sistem pendidikan negara sentiasa tersedia dalam menyokong setiap langkah pelajar untuk mencapai kejayaan, sama ada melalui laluan akademik mahupun kemahiran.

Sehubungan itu, Anwar  berharap semua pelajar terus berusaha dan memanfaatkan peluang yang ada bagi mencapai potensi masing-masing serta menyumbang kepada pembangunan negara pada masa hadapan.