Akta Pekerja Gig: Malaysia pelopor perlindungan sosial di ASEAN
Wanita PKR Pusat menyifatkan pelaksanaan Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) sebagai langkah bersejarah yang menjadikan Malaysia pelopor perlindungan sosial menyeluruh bagi sektor tidak formal di rantau ASEAN.
Ketua Penerangannya, Datuk Ginie Lim, berkata akta yang mula berkuat kuasa semalam itu memberi jaminan lebih baik kepada pekerja gig melalui sistem caruman bersama melibatkan syarikat platform.
Menurutnya, langkah itu membolehkan pekerja gig menikmati perlindungan lebih menyeluruh termasuk terhadap kemalangan kerja, kematian atau hilang upaya kekal serta elaun pemulihan dan penggantian pendapatan.
“Ini adalah reformasi penting yang memperkukuh jaringan keselamatan sosial untuk lebih 1.2 juta pekerja gig di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata kerajaan turut menyediakan insentif bagi sektor yang belum diwajibkan mencarum, termasuk subsidi 70 peratus bagi caruman pertama dan 50 peratus untuk pembaharuan tahun kedua seperti diumumkan dalam Belanjawan 2026.
Menurutnya, pelaksanaan akta itu juga membuka ruang kepada akses perlindungan undang-undang melalui Tribunal Pekerja Gig serta skim perlindungan seperti Skim LINDUNG Kendiri.
Ginie berkata inisiatif itu memberi manfaat besar kepada golongan rentan termasuk wanita dan ibu tunggal yang terlibat dalam ekonomi gig.
Beliau menegaskan langkah berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memastikan kebajikan dan maruah pekerja terus terpelihara.
Dalam masa sama, Wanita PKR turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Sumber Manusia Malaysia atas usaha memperkenalkan reformasi tersebut.
Kenyataan itu menyebut kementerian berkenaan memainkan peranan penting dalam merangka dasar yang memperkukuh perlindungan sosial bagi sektor tidak formal.
Wanita PKR menegaskan komitmen untuk terus menyokong dasar kerajaan dalam usaha memastikan pembangunan yang lebih inklusif dan berdaya saing.
Pelaksanaan akta ini dilihat sebagai satu lagi langkah penting dalam memperkukuh sistem perlindungan sosial negara sejajar dengan perubahan struktur pasaran kerja semasa.