Ikan murah terus dari nelayan, Jualan Agro Madani ‘game changer’ turunkan kos sara hidup
Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) terus memperkukuh peranannya sebagai pemacu keterjaminan makanan negara apabila melancarkan Program Jualan Agro Madani (JAM) bertemakan “Jualan Ikan Murah Untuk Rakyat – Dari Nelayan Terus Ke Dapur” di Pasar Nelayan Teluk Buih, di Mersing, pagi tadi.
Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, inisiatif itu menekankan konsep jualan terus daripada nelayan kepada pengguna bagi memastikan harga ikan lebih kompetitif, selain menjamin kesegaran hasil laut.
Menurut beliau, LKIM memainkan peranan penting dalam mengawal selia pemasaran ikan, justeru pendaratan hasil tangkapan yang mencukupi menjadi faktor utama dalam menstabilkan harga di pasaran.

Sehubungan itu, katanya, pasar nelayan menjadi nadi penggerak pemasaran ikan, dengan nelayan berperanan sebagai usahawan serta turut melibatkan ahli keluarga mereka sebagai penjual.
Tambah beliau, pendekatan tersebut turut membuka peluang kepada nelayan menjana pendapatan tambahan melalui aktiviti perniagaan, selari dengan usaha memperkasa komuniti nelayan di seluruh negara.
Jelasnya, sebanyak 137 pasar nelayan telah diwujudkan di seluruh negara termasuk pengenalan konsep pasar nelayan bandar bagi memperluaskan akses rakyat kepada bekalan ikan segar pada harga berpatutan.
Faiz berkata, konsep jualan terus hasil tangkapan oleh nelayan memendekkan rantaian bekalan dan menghapuskan peranan orang tengah yang sering menekan harga di peringkat nelayan.
“Melalui kaedah ini, rakyat pula mendapat peluang membeli ikan yang segar dengan harga berpatutan,” ujarnya.
BACA JUGA Pemuda mabuk dituduh bunuh Amirul Hafiz