Isteri arwah Amirul Hafiz mahu saman RM1 juta terhadap pemandu mabuk

Isteri kepada arwah penunggang motosikal yang maut dirempuh, merancang untuk memfailkan saman sebanyak RM1 juta terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kematian suaminya.

Ketika menyampaikan perkara itu kepada media, peguam, Mohd Faizi Che Abu yang mewakili Nor Nadia Abdul Majid, berkata, pihaknya akan membuat pengiraan terlebih dahulu termasuklah gaji dan jumlah tanggungan anak guamnya.

“Di sisi undang-undang, kita tak boleh tuntut pampasan berdasarkan emosi kerana ada pengiraan yang akan diambil kira antaranya gaji dan tanggungan keluarga mangsa.

“Saya akan berbincang dengan anak guam, tetapi jumlah itu perlu dibuat berdasarkan prinsip undang-undang serta ketetapan kes-kes terdahulu,” katanya hari ini.

Allahyarham Amirul Hafiz Omar meninggal dunia selepas dirempuh seorang pemandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah Ahad lalu.

Mengulas mengenai perbicaraan hari ini, Nor Nadia berkata, dia berasa lega selepas tertuduh didakwa atas pertuduhan membunuh di Mahkamah Majistret Klang, hari ini.

Pertuduhan itu sedikit sebanyak mengurangkan kesedihan yang sedang dilaluinya ketika ini.

“Syukur Alhamdulillah. Terima kasih Ya Allah. Terima kasih di atas pertuduhan itu Ya Allah.

“Lega sikit saya rasa Ya Allah. Satu saya hendak cakap nyawa dibalas nyawa. Selainnya saya serah kepada peguam (mengendalikan kes ini).

“Alhamdulillah saya sangat bersyukur dan berpuas hati hari ini. Saya amat lega,” katanya dalam sidang media hari ini.

BACA JUGA Ikan murah terus dari nelayan, Jualan Agro Madani ‘game changer’ turunkan kos sara hidup