Pemandu mabuk rempuh Amirul Hafiz diheret ke mahkamah pagi ini

Pemandu mabuk dan di bawah pengaruh dadah yang direman selepas merempuh penunggang motosikal, Amirul Hafiz hingga menyebabkan kematian di Jalan Raya Barat di Klang, akan didakwa hari ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey mengesahkan perkara tersebut, dipetik Buletin TV3.

Pemuda berkenaan dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Klang pagi ini untuk menghadapi pertuduhan berkaitan insiden yang mengundang kemarahan orang ramai itu.

Suspek yang diuji positif alkohol dan dadah, ditahan di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.

Mengikut peruntukan tersebut, pesalah boleh disumbat ke penjara maksimum 15 tahun, denda sehingga RM100,000, dan hilang kelayakan memandu sekurang-kurangnya 10 tahun.

Dalam nahas ngeri pada 29 Mac, jam 11.40 pagi lalu, Amirul Hafiz Omar, 33, maut selepas dirempuh kereta dipandu suspek, yang didakwa dipandu laju ke arah bandar Klang.

Akibat rempuhan kuat itu, mangsa dilihat melambung tinggi dan berpusing beberapa kali di udara sebelum terhempas di atas kereta Myvi.

Amirul yang berasal dari Kampung Repoh, Batu Kurau, Perak melakukan kerja sambilan sebagai penghantar Lalamove pada waktu malam selepas selesai bekerja di gudang.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Nor Nadia Abdul Majid (32), serta tiga anak iaitu Mohd Aqif Hamsyar (9), Mohd Afif Izz Ryqal (7) dan Nur Humaira (2 tahun 5 bulan).

BACA JUGA Bekalan beras, ayam, sayur cukup hingga empat bulan