Perlu pendekatan berfakta dan disiplin hadapi krisis global – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan keperluan pendekatan berasaskan fakta dan disiplin dalam menghadapi krisis global yang semakin meruncing, khususnya melibatkan isu tenaga.

Berucap selepas menghadiri Forum Ilmuan Malaysia MADANI malam tadi di Sasana Kijang, Bank Negara, beliau berkata, dunia kini memasuki fasa baharu yang menuntut kesiapsiagaan tinggi serta kejelasan dalam membuat dasar.

“Dalam keadaan sekarang, kita tidak boleh bergantung kepada sentimen semata-mata. Pendekatan mesti berasaskan fakta, disiplin dan tanggungjawab bersama,” katanya.

Menurut Anwar, Malaysia mempunyai asas yang kukuh untuk berdepan cabaran berkenaan, didukung kestabilan politik serta kekuatan institusi negara.

Namun begitu, beliau mengakui situasi semasa memerlukan seluruh jentera negara berada dalam keadaan bersedia, memandangkan krisis tenaga global boleh memberi kesan berpanjangan kepada ekonomi.

Katanya, keutamaan kerajaan ketika ini adalah melindungi rakyat daripada kesan langsung krisis, sambil memastikan langkah berhemat dilaksanakan bagi mengekalkan kestabilan ekonomi.

Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa setiap keputusan yang diambil perlu bersifat adil serta mengambil kira kepentingan rakyat secara menyeluruh.

“Keputusan yang dibuat bukan sahaja perlu tepat, tetapi mesti berteraskan ihsan kepada rakyat,” katanya.

Forum Ilmuan Malaysia MADANI menghimpunkan wakil kerajaan, ahli akademik dan profesional bagi membincangkan isu-isu mendesak negara secara terbuka.

Ucapan itu hadir ketika kebimbangan terhadap krisis tenaga global semakin meningkat, dengan beberapa negara mula berdepan tekanan bekalan dan kenaikan kos yang ketara.

Sehubungan itu, Anwar menekankan bahawa perbincangan dasar perlu diperkukuh bagi memastikan negara kekal berdaya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan global.

BACA JUGA Konflik Iran ancam krisis makanan global – Jomo