Sebar maklumat palsu tarif elektrik naik, tiga individu disiasat MCMC
Tiga individu yang disyaki menyebarkan maklumat palsu mengenai peningkatan tarif elektrik di platform digital termasuk Facebook, Threads, dan WhatsApp berdepan siasatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
MCMC maklumkan, maklumat palsu itu dipercayai turut menyalahgunakan elemen grafik dengan menyunting laporan rasmi Astro AWANI.
“Kandungan yang disebarkan itu bersifat tidak benar dan berpotensi menimbulkan persepsi negatif sehingga boleh mengakibatkan kegelisahan dan panik dalam kalangan masyarakat.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan,” menurut MCMC dalam satu kenyataan hari ini.
Suruhanjaya itu menegaskan bahawa pihaknya memandang serius sebarang penyalahgunaan platform digital bagi tujuan mengelirukan orang ramai dengan penyebaran maklumat palsu.
Tambahnya, tindakan tegas akan dikenakan terhadap individu yang melanggar undang-undang.
Sehubungan itu, MCMC mengingatkan orang ramai supaya sentiasa bertanggungjawab ketika menggunakan platform digital serta tidak menyebarkan kandungan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dan ketenteraman awam.
BACA JUGA Pemuda mabuk dituduh bunuh Amirul Hafiz