Tidak bijak guna dana awam sambut raya – Mufti Perlis

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyuarakan pandangan agar penggunaan dana awam bagi penganjuran majlis sambutan Hari Raya dielakkan dalam keadaan ekonomi semasa yang mencabar.

Beliau berkata, majlis sambutan Aidilfitri bukan satu keperluan mendesak, khususnya ketika rakyat berdepan tekanan kos sara hidup dan ketidaktentuan ekonomi.

Menurutnya, penggunaan dana sendiri atau oleh pihak swasta untuk menganjurkan majlis tidak menjadi isu, namun berbeza jika ia melibatkan wang awam.

“Jika wang sendiri atau syarikat swasta digunakan, ia tidak menjadi masalah.

“Namun, menggunakan wang awam untuk majlis Hari Raya dalam keadaan ekonomi membimbangkan adalah langkah tidak bijak,” katanya dalam kenyataan.

Dr Asri turut mengingatkan bahawa keadaan menjadi lebih serius sekiranya perbelanjaan itu melibatkan dana yang bersumberkan sumbangan atau zakat yang tidak diperuntukkan untuk tujuan sedemikian.

Sehubungan itu, beliau menegaskan pihaknya tidak bersetuju dengan penggunaan dana awam bagi tujuan tersebut.

“Kita berlepas diri daripada perbelanjaan yang sebegitu,” kata agamawan itu lagi.

Kenyataan Dr Asri senada dengan seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menekankan keperluan berjimat dalam perbelanjaan awam termasuk mengehadkan penganjuran majlis sambutan perayaan menggunakan dana kerajaan.

Langkah berkenaan dilihat sebagai sebahagian usaha kerajaan untuk mengurus kewangan negara secara lebih berhemah dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa serta memastikan keutamaan diberikan kepada kebajikan rakyat.

Dalam perkembangan berkaitan, tindakan kerajaan negeri Kedah yang dilaporkan menganjurkan sambutan Hari Raya secara besar-besaran turut mencetuskan perbincangan dalam kalangan masyarakat mengenai keutamaan perbelanjaan awam ketika ini.

Dalam konteks itu, pandangan Mufti Perlis berkenaan dilihat selari dengan pendekatan disiplin fiskal yang sedang ditekankan kerajaan Persekutuan ketika ini.

BACA JUGA Kerajaan nafi dakwaan campur tangan siasatan isu saham Azam Baki