Bertenanglah, kerajaan tanggung RM4 bilion sebulan kekang kenaikan harga minyak
Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat, menggesa rakyat Malaysia agar memahami tekanan luar biasa yang sedang dihadapi kerajaan susulan lonjakan harga minyak global akibat konflik antarabangsa.
Beliau berkata, situasi semasa bukan hanya melibatkan Malaysia, sebaliknya memberi kesan kepada seluruh dunia, khususnya selepas serangan ke atas Iran pada 28 Februari lalu yang mencetuskan ketidaktentuan pasaran tenaga global.
Menurutnya, kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim kini membelanjakan kira-kira RM4 bilion sebulan bagi menyerap kenaikan kos bahan api demi melindungi rakyat daripada tekanan harga.
“Kerajaan terus menguruskan inflasi bahan api dengan mengekalkan harga petrol bersubsidi BUDI95 pada RM1.99 seliter, walaupun harga minyak antarabangsa meningkat,” katanya.
Suhaizan turut menegaskan bahawa harga petrol bersubsidi di Malaysia masih antara yang terendah di dunia, walaupun kerajaan terpaksa mengurangkan kuota bulanan kepada sekitar 200 liter bagi setiap individu sebagai langkah kawalan.
Menerima subsidi
Dalam perkembangan sama, Suhaizan menjelaskan bahawa harga diesel di Semenanjung Malaysia memang meningkat ketara, namun sektor penting seperti logistik dan pengangkutan awam masih menerima subsidi bagi memastikan kelangsungan operasi.
Sebagai langkah penjimatan tenaga, kerajaan turut mengumumkan bahawa kakitangan kementerian, agensi dan syarikat milik kerajaan akan melaksanakan kerja dari rumah bermula 15 April ini.
Mengulas isu penyebaran maklumat tidak tepat, Suhaizan menyifatkan tindakan pihak tertentu menyebarkan berita palsu berkaitan harga bahan api dan elektrik sebagai tidak bertanggungjawab serta boleh mengelirukan rakyat.
“Dakwaan palsu mengenai harga bahan api dan elektrik ini perlu dihentikan!
“Sebagai rakyat Malaysia, kita semua perlu bersama, sehati sejiwa menghadapi cabaran ini,” kata wakil rakyat dari AMANAH itu.
Beliau turut membandingkan situasi Malaysia dengan negara jiran, termasuk Thailand yang menyaksikan harga diesel melonjak sehingga 40 baht seliter susulan pengurangan subsidi, serta Indonesia yang melaksanakan catuan bahan api dan langkah penjimatan ketat dalam sektor awam.
Tambahnya, walaupun Malaysia merupakan negara pengeluar minyak, pengeluaran sedia ada tidak mencukupi untuk menampung permintaan domestik.
“Dengan kualiti minyak negara yang tinggi maka adalah lebih baik dijual kepada sektor strategik untuk mendapat lebihkan keuntungan bagi diagihkan semula kepada rakyat.
“Minyak untuk kegunaan domestik cukup dengan mengimport minyak dari luar negara,” kata beliau.
Sehubungan itu, Suhaizan menyeru semua pihak agar mengamalkan penggunaan tenaga secara berhemah dalam menghadapi ketegangan geopolitik di Timur Tengah yang masih belum reda.
“Ini masa untuk kita bersatu, berjimat dan tabah menghadapi cabaran global yang semakin mencabar,” tegasnya lagi.