Diplomatik PMX mula membuahkan hasil

Seorang wakil rakyat kerajaan menggesa orang ramai supaya terus meletakkan kepercayaan terhadap kepimpinan negara dalam menghadapi ketidaktentuan global susulan ketegangan di Asia Barat.

ADUN Batu Uban, A. Kumaresan berkata, pendekatan diplomasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kini mula menunjukkan hasil apabila Iran membenarkan kapal Malaysia melalui Selat Hormuz.

Menurutnya, perkembangan itu penting memandangkan hampir separuh bekalan minyak Malaysia melalui laluan berkenaan, sekali gus menjadikannya kritikal kepada keselamatan tenaga negara.

Malaysia, katanya, walaupun merupakan negara pengeluar minyak, masih terkesan dengan kenaikan harga minyak global.

Beliau berkata langkah tersebut wajar meningkatkan keyakinan rakyat terhadap keupayaan kerajaan dalam mengurus cabaran semasa, khususnya selepas serangan melibatkan Israel dan Amerika Syarikat ke atas Iran.

Dalam pada itu, Kumaresan berkata ekonomi negara menunjukkan pemulihan stabil selepas melalui kemelesetan akibat pandemik Covid-19 dan isu pengurusan ekonomi lalu termasuk skandal 1MDB.

Katanya, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.2 peratus pada 2025, melepasi unjuran rasmi, selain pembayaran dividen KWSP sebanyak 6.15 peratus.

Beliau turut memetik inisiatif kerajaan seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan program subsidi petrol bersasar BUDI95 bagi membantu mengurangkan beban rakyat. 

Bagaimanapun, katanya, kenaikan kos sara hidup akibat tekanan global tidak dapat dielakkan, dan kerajaan telah menubuhkan pusat komunikasi di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara bagi menyelaras maklumat berkaitan krisis tenaga dan konflik di Asia Barat.

Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat Malaysia supaya terus bersatu, mengekalkan keyakinan terhadap kerajaan, serta berwaspada terhadap pihak yang memainkan sentimen perkauman dan kebencian.