Jika keadilan global selektif, dunia jadi ‘law of the jungle’

 Malaysia menegaskan pendirian tegas dalam mempertahankan prinsip keadilan sejagat, ketika landskap geopolitik dunia semakin mencabar dan dipengaruhi kepentingan kuasa besar.

Dalam nada lantang, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan kebimbangan terhadap hakisan prinsip Rule of Law dalam hubungan antarabangsa, yang menurutnya semakin digantikan dengan pendekatan “law of the jungle”.

Beliau berkata terdapat ironi besar apabila sesetengah pihak yang lantang memperjuangkan sistem berasaskan peraturan gagal mematuhinya, malah menunjukkan sikap tidak konsisten dalam pelaksanaannya.

“Peraturan undang-undang tidak boleh digunakan secara selektif. Ia tidak boleh melindungi satu pihak daripada akauntabiliti, sambil menafikan hak pihak lain untuk mempertahankan diri,” katanya.

Menurut beliau, kredibiliti sistem antarabangsa bergantung kepada konsistensi dalam pelaksanaan prinsip tersebut, dan kegagalan berbuat demikian hanya akan melemahkan kepercayaan global terhadap keadilan.

Anwar berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Commonwealth Legal Education Association (CLEA) 2026 di Universiti Malaya hari ini.

Dalam ucapannya, beliau turut mengingatkan bahawa generasi peguam akan datang perlu bersedia berdepan realiti dunia yang semakin kompleks, termasuk cabaran geopolitik yang tidak lagi berpaksikan prinsip keadilan sejagat.

Katanya, profesion guaman tidak boleh terpisah daripada perkembangan ini, sebaliknya perlu memainkan peranan dalam mempertahankan nilai keadilan di peringkat global.

Beliau turut menekankan bahawa negara-negara Komanwel mempunyai tanggungjawab bersama untuk membentuk masa depan yang lebih adil, bukan sekadar bergantung kepada warisan sejarah semata-mata.

“Yang mengikat kita bukan sekadar masa lalu, tetapi masa depan yang kita pilih untuk bina bersama,” ujarnya.

Sehubungan itu, Malaysia akan terus komited memainkan peranan aktif dalam memperjuangkan keadilan dan prinsip undang-undang di peringkat antarabangsa, selari dengan pendekatan diplomasi berprinsip yang dibawa kerajaan MADANI.