Krisis tenaga dunia: Malaysia masih tenang, negara lain dah huru-hara
Oleh AHMAD MURSI
Indonesia mengehadkan penggunaan kepada 50 liter bagi setiap kenderaan dan mula melaksanakan kerja dari rumah (WFH).
Filipina pula telah menutup 365 stesen minyak, manakala Thailand mula melaksanakan catuan bahan api. Di Malaysia, pembangkang pula menganjurkan konvoi.
JP Morgan menyatakan bahawa selain China dan Malaysia, kebanyakan ekonomi negara Asia dilihat rapuh dalam menghadapi kejutan krisis tenaga.
Hal ini disebabkan status Malaysia sebagai pengeksport tenaga, pengurusan defisit fiskal yang terkawal, serta kadar inflasi yang masih sederhana berbanding negara jiran.
Ini hasil daripada kestabilan kerajaan Madani.
Saya tidak dapat membayangkan betapa besarnya bencana yang akan menimpa negara akibat perang Iran jika sebelum ini Kerajaan Madani tidak mula menyusun semula subsidi minyak bagi mengekang penyeludupan dan penyelewengan. Syukurlah negara ini berada di tangan yang tepat.
Semua kena mula berjimat dan tak membazir walaupun ada kuota masing-masing. Kita akan masuk fasa susah sama ada suka atau tidak.
Mengambil masa
Dianggarkan kira-kira 2,000 kapal terkandas di Selat Hormuz. Walaupun kapal kita masih boleh melalui laluan tersebut, kesesakan berlaku kerana kapal yang tersangkut tidak bergerak.
Proses mengalihkan kapal-kapal itu dijangka mengambil masa antara dua hingga tiga minggu.
Untuk minyak turun ke harga asal, mesti 20 juta tong sehari keluar dari Hormuz seperti sebelum perang.
Kalau hari ini perang berakhir sekalipun, akan ambil masa berbulan-bulan untuk harga turun semula di bawah USD100 per tong.
Itu belum mengambil kira infrastruktur yang rosak akibat pengeboman dan memerlukan tempoh pembaikan yang mungkin berbulan-bulan, malah mungkin bertahun.
Kalau tentera darat Amerika Syarikat (AS) masuk ke Iran, krisis tenaga akan jadi lebih lama dan lebih teruk.
Harga boleh melonjak ke USD150 ke USD200 per tong. Begitulah jahatnya pihak yang memulakan perang ni.
Kita bernasib baik kerana hubungan diplomatik bagus dan profesionalisme Petronas membantu bina hubungan baik dengan pengeluar negara lain yang tidak terhad di negara Arab.
Ini krisis tenaga global. Tiada satu pun negara yang tidak terkesan.
Rakyat Malaysia perlu bersatu pada waktu ini, untuk menghadapi bahaya yang mendatang. Kekal stabil, jangan khianat, jangan sebar maklumat palsu.
BACA JUGA Bertenanglah, kerajaan tanggung RM4 bilion sebulan kekang kenaikan harga minyak