Peguam Jangan jadi ‘mesin’ bergantung AI- Wan Farid
Ketua Hakim Negara, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh mengingatkan komuniti guaman agar tidak terlalu bergantung kepada kecerdasan buatan (AI), sambil memberi amaran bahawa teknologi itu tidak sepatutnya mengubah peguam menjadi sekadar “mesin”.
Dalam satu ucapan khas, beliau menyuarakan kebimbangan khususnya terhadap peguam muda yang berdepan godaan untuk terlalu bergantung kepada teknologi berkenaan dalam menjalankan tugas harian.
“Menjadi insan bermakna belajar, melakukan kesilapan, bergelut dan mengingati. Tidak syak lagi AI telah menjadikan kita kurang menggunakan keupayaan mental sendiri.
“Apabila kita menyerahkan pemikiran kepada pihak luar, memang menjimatkan masa. Tetapi kita sedang kehilangan sebahagian diri. Kecekapan adalah untuk mesin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Persatuan Pendidikan Undang-undang Komanwel 2026 di Universiti Malaya.
Wan Ahmad Farid bagaimanapun menggalakkan warga guaman untuk menerima perkembangan teknologi tersebut, namun menegaskan ia perlu digunakan secara bijak sebagai alat bantuan, bukan pengganti kepada pemikiran manusia.
Beliau turut menekankan kepentingan disiplin dalam berfikir secara mendalam, menyusun hujah dengan jelas serta melibatkan diri secara bermakna dalam proses perundangan.
“Ini bukannya kemahiran ketinggalan zaman. Ia adalah asas utama kepada advokasi, penghakiman dan keadilan,” katanya.
Menurutnya, teknologi tidak mampu menimbang perasaan belas kasihan atau melaksanakan pertimbangan hati nurani, selain tidak dapat memahami dimensi kemanusiaan di sebalik setiap kes undang-undang.
“Budi bicara kehakiman, kesaksamaan dan kebebasan mesti sentiasa menjadi teras kepada apa yang kita lakukan,” katanya lagi.
Beliau menambah, faktor itu menjadikan penaakulan etika perlu diterapkan sejak awal dalam pendidikan dan amalan undang-undang.
“Pada akhirnya, kita bukan sekadar melatih peguam untuk berhujah dengan baik. Kita sedang membentuk individu yang membawa harapan dan menegakkan keadilan,” katanya.
Mengimbau kenyataan terdahulu, beliau pada November lalu pernah menyamakan AI seperti gergaji rantai — berguna di tangan yang betul, namun berbahaya jika disalah guna.
Menurutnya, AI kini digunakan dalam pelbagai bidang termasuk penyelidikan undang-undang, analisis kontrak dan analitik ramalan, malah berpotensi membantu dalam proses kehakiman, namun tetap tidak mampu menggantikan intipati tugas seorang peguam atau hakim.