Peguam perlu jadi kompas moral di era kecerdasan buatan
Landskap profesion guaman dijangka berubah secara radikal menjelang tahun 2030 susulan perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI), dengan peranan peguam tidak lagi terhad kepada fungsi tradisional.
Dalam konteks perubahan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggariskan bahawa peguam masa depan perlu tampil sebagai “kompas moral” yang memastikan keadilan terus terpelihara dalam dunia yang semakin dipacu teknologi.
Berucap pada Persidangan Commonwealth Legal Education Association (CLEA) 2026 di Universiti Malaya hari ini, beliau berkata tugas seperti penyelidikan kes dan penyediaan dokumen undang-undang dijangka semakin diambil alih oleh teknologi.
Menurutnya, keadaan itu menuntut satu anjakan besar dalam peranan pengamal undang-undang.
“Peguam tidak lagi boleh berfungsi sebagai ‘search engine in a suit’. Sebaliknya, mereka mesti menawarkan nilai yang tidak mampu digantikan oleh mesin,” katanya.
Dalam hubungan ini, beliau menekankan bahawa nilai dan etika akan menjadi teras utama profesion guaman, dengan peguam perlu bertindak sebagai penjaga keadilan dan memastikan setiap keputusan bukan sahaja sah dari segi undang-undang, tetapi juga adil dari sudut moral.
Beliau turut menegaskan kepentingan empati dalam mengendalikan kes, khususnya yang melibatkan konflik kemanusiaan, agar penyelesaian yang dicapai lebih menyeluruh.
Selain itu, katanya, peguam masa depan perlu menguasai kemahiran merentas sempadan termasuk memahami undang-undang pelbagai negara serta bidang baharu seperti teknologi kewangan dan perubahan iklim.
Keupayaan membuat penilaian yang tepat juga akan menjadi semakin penting memandangkan maklumat perundangan kini mudah diakses melalui AI.
Pandangan tersebut selari dengan kebimbangan yang pernah disuarakan oleh Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh mengenai risiko kebergantungan berlebihan terhadap teknologi dalam kalangan pengamal undang-undang.
Dalam pada itu, Anwar berkata institusi pendidikan undang-undang perlu segera menyesuaikan kurikulum bagi melahirkan graduan yang bukan sahaja mahir secara teknikal, tetapi juga mempunyai keupayaan berfikir secara kritikal dan beretika.
Beliau menegaskan bahawa transformasi ini penting bagi memastikan profesion guaman terus relevan dan mampu berperanan sebagai benteng keadilan dalam dunia yang semakin kompleks dan dipacu teknologi.