Petronas kaji semula imbangan penapisan, perkukuh keselamatan tenaga

Syarikat minyak nasional Petroliam Nasional Berhad (Petronas) memaklumkan pihaknya sedang meneliti semula keseimbangan antara penapisan domestik dan eksport sebagai sebahagian usaha memperkukuh keselamatan tenaga negara susulan gangguan bekalan minyak global.

Naib Presiden Pembangunan Huluannya, Mohd Nazlee Rasol, berkata kira-kira 70 peratus pengeluaran minyak dan gas syarikat itu ketika ini ditapis di dalam negara, manakala baki 30 peratus dieksport ke pasaran luar.

Menurutnya, Petronas kini mengkaji sama ada struktur tersebut wajar dikekalkan atau diubah bagi menyokong keperluan bekalan jangka panjang negara, terutama susulan konflik di Asia Barat yang mencetuskan ketidaktentuan tenaga global.

“Oleh itu, kami perlu meneliti semula sama ada mahu meneruskannya atau membuat perubahan,” katanya seperti dipetik Bernama.

Beliau berkata demikian pada sesi panel bertajuk “Mempercepat Pembangunan bagi Keterjaminan Tenaga: Strategi Pantas di Lapangan dalam Dunia Tidak Menentu” sempena Offshore Technology Conference Asia di Kuala Lumpur.

Nazlee turut memaklumkan Petronas telah menubuhkan pasukan petugas khas bagi menilai pendekatan untuk melonjakkan pengeluaran, sekali gus memastikan bekalan berterusan kepada fasiliti penapisan.

Katanya, syarikat itu bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa serta pemain industri bagi mengenal pasti kaedah mempercepatkan pengeluaran, termasuk perbincangan dengan penyedia perkhidmatan berkaitan teknologi yang mampu meningkatkan output.

Pada Isnin, Petronas menyatakan ia akan bekerjasama dengan anak-anak syarikat bagi memastikan bekalan petrol dan diesel kekal mencukupi dalam menghadapi potensi kekurangan susulan konflik di Asia Barat.

Dalam kenyataan sama, syarikat itu menjelaskan bahawa walaupun Malaysia merupakan negara pengeluar minyak, ia tidak sepenuhnya terlindung daripada kesan konflik melibatkan Iran, memandangkan hampir 40 peratus keperluan minyak mentah negara melalui Selat Hormuz yang terjejas sejak konflik bermula.

Awal bulan ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia mempunyai bekalan petrol mencukupi untuk mengekalkan harga bersubsidi sekurang-kurangnya sehingga Mei.