Putrajaya laksana BDR mulai 15 April, fokus jimat bahan api

Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) melibatkan penjawat awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bermula 15 April ini, susulan kebimbangan terhadap bekalan tenaga akibat konflik di Asia Barat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri sebagai langkah mengurangkan penggunaan bahan api serta memastikan kemampanan bekalan tenaga negara.

“Mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju melaksanakan dasar bekerja dari rumah bagi kementerian, agensi serta badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan bermula 15 April 2026.

“Tujuannya adalah untuk mengurangkan penggunaan bahan api dan memastikan kemampanan bekalan tenaga. Perincian lanjut akan diumumkan kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam satu taklimat khas di Putrajaya.

Langkah itu dilihat sebagai antara respons kerajaan terhadap ketidaktentuan pasaran tenaga global susulan konflik di Asia Barat yang memberi tekanan kepada rantaian bekalan.

Dalam pada itu, Anwar berkata kerajaan turut membuka ruang kepada pelbagai pihak termasuk peniaga, nelayan dan pekerja untuk mengemukakan cadangan bagi menangani cabaran semasa.

Menurutnya, input daripada kumpulan berkepentingan penting bagi memastikan dasar yang dirangka bersifat inklusif dan mampu menangani kesan ekonomi yang lebih luas.